Muktamad! Umno tak kerjasama Bersatu, PN pada PRU15, kata Zahid
(FMT) – Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengulangi keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, keputusan itu adalah muktamad.
“Umno juga mengambil pendirian menolak pembentukan gabungan politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 dan berdiri teguh untuk memperkasa Barisan Nasional (BN).
“Kesimpulannya, semua ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 itu adalah berfokuskan PRU15 yang akan diadakan sejurus pandemik Covid-19 dapat ditangani,” katanya dalam catatan di Facebook.
Mengenai kerjasama dengan PN dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ketika ini, beliau berkata ia demi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan selepas kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang Ogos lalu.
Sementara itu, dalam catatan berasingan di Facebook, Zahid berkata, Umno akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada PRU14.
Katanya, perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat MKT Umno tahun lalu.
Semalam, parti komponen PN mencapai konsensus untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di Parlimen dan DUN dengan segera tanpa BN.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, ini kerana tiada isyarat daripada Umno dan BN mengenai hala tuju kerjasama dengan gabungan itu.