Penganjuran ceramah, perhimpunan tak dibenar sepanjang kempen pilihan raya


(FMT) – Penganjuran sebarang bentuk ceramah, syarahan dan perhimpunan oleh mana-mana individu atau parti politik sepanjang tempoh berkempen adalah tidak dibenarkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi menjelaskan, calon atau parti digalakkan untuk menggunakan media massa, media sosial dan media cetak bagi tujuan berkempen.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sedang meneliti dan merangka penambahbaikan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya yang baharu berdasarkan penilaian semasa dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) selaras dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini.

“Selain itu, SPR akan turut meneliti dan mempertimbangkan pandangan atau cadangan daripada pihak lain bagi menambah baik pelaksanaan proses pilihan raya dengan isu kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan dalam mendepani wabak pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) yang mahu tahu perancangan dan persediaan dari segi SOP dan norma baharu oleh SPR bagi menghadapi pilihan raya semasa pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, SPR kini dalam persiapan meminda Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan SOP dan sistem serta prasarana bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

“SPR juga telah mengenal pasti beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan sebelum pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, antaranya membuat semakan maklumat bakal pemilih.

“Selain itu, semakan di lapangan yang melibatkan bakal pengundi berumur 90 tahun dan ke atas, semakan di lapangan ke atas alamat untuk memastikan penentuan bahagian pilihan raya yang tepat dan menyemak keperluan logistik bagi persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15 yang akan datang,” katanya.

Katanya, SPR menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil tindakan termasuklah menangani isu-isu yang berkaitan ini akan dapat diselesaikan dan seterusnya melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada Sept 2022.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menjelaskan perkembangan persediaan ke arah pelaksanaan undi 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik.

 



Comments
Loading...