UMNO kekal keputusan tidak bekerjasama dengan BERSATU
(Berita Harian) – UMNO menegaskan parti itu berpegang teguh kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, yang membuat ketetapan tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pendirian itu adalah muktamad dan hanya boleh diubah melalui perhimpunan agung parti itu.
Katanya, Perikatan Nasional (PN) juga bebas untuk membuat pengagihan kerusi tanpa menunggu UMNO kerana UMNO bukanlah komponen kepada perikatan itu walaupun pada masa ini bersama-sama dalam Kerajaan Pusat.
“Tan Sri Muhyiddin (Yassin) cakap itu betul, sebab UMNO bukan sebahagian daripada PN. Itu dia punya parti, apa pula kena mengena dengan saya.
“PAU kata kita tak buat kerjasama (dalam PRU-15), kalau PAU ubah balik, itu lainlah ceritanya,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohamad bagaimanapun tidak mahu membuat ulasan apabila ditanya berkenaan kedudukan PAS yang menjalinkan kerjasama secara serentak dengan PN dan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).
Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dalam sidang akhbarnya memaklumkan parti komponen perikatan itu mencapai kata sepakat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15.
Muhyiddin, yang juga Presiden BERSATU, berkata pembahagian kerusi itu tidak membabitkan UMNO atau Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa parti itu belum memberikan kata putus mengenai hala tuju dalam PRU-15.
“Ini kerana kita tidak dapat apa-apa lagi gambaran walaupun realitinya kita bersama dalam kerajaan.
“Bagi menunggu parti lain, ia akan mengganggu urusan kerana kita menjangkakan PRU-15 pada tahun depan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MT PN.
PAU 2020 pada Mac lalu membuat ketetapan, tiada kerjasama antara UMNO dan BERSATU dalam PRU-15, manakala kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Usul memutuskan kerjasama politik itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan parti.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di PAU 2020 menegaskan, keputusan tidak bekerjasama dengan BERSATU adalah muktamad, selain menolak pembentukan gabungan politik bersama PN.
“Keputusan itu adalah muktamad dan harus diletakkan noktah. Ketetapan ini bukan hanya dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi lahir daripada suara di peringkat akar umbi,” katanya.