Tolak kerjasama Bersatu, UMNO gali lubang kubur sendiri
(Warta Rakyat) – Entah apa yang bermain dalam fikiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila mengumumkan partinya sudah membuat keputusan muktamad untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Apakah beliau benar-benar yakin bahawa tindakan itu akan menjamin kemenangan UMNO di sebahagian besar kerusi yang bakal ditandinginya?
Kenyataan populis sebegitu sebenarnya memberi harapan palsu kepada ahli-ahli akar umbi UMNO yang setia dengan parti walaupun selepas mengalami prestasi buruk pada PRU-14.
Sikap angkuh pucuk pimpinan UMNO boleh menyebabkan ahli-ahli UMNO tidak dapat melihat hakikat sebenar situasi politik negara menjelang PRU-15 yang bakal menyaksikan tentangan yang lebih sengit daripada Pakatan Harapan (PH).
Memang benar, rejim PH mempunyai rekod prestasi yang sangat corot semasa 22 bulan menguasai pentadbiran negara dahulu, namun dari segi politik mereka masih lagi bersepakat.
Di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gerak kerja mereka dilihat lebih tersusun dan fokus dalam memanipulasi persepsi rakyat lebih-lebih lagi golongan muda yang mudah terperdaya dengan dakyah palsu pembangkang.
Melihat kepada keputusan PRU-14, mana-mana gabungan politik yang ingin mematahkan serangan PH dalam kempen PRU-15 mesti bersepakat agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih.
Dalam hal ini, secara khususnya, UMNO yang di bawah tiket Barisan Nasional (BN) dan Bersatu atau PAS di bawah tiket PN tidak boleh bertembung sesama sendiri.
Jika ketiga-tiga parti tidak mahu beralah, sokongan daripada pengundi yang tidak memihak kepada PH akan terpecah dua sekali gus mengurangkan kebarangkalian untuk memenangi kerusi yang ditandingi.
Sifir politik pilihan raya ini amat mudah difahami, namun pucuk pimpinan UMNO seolah-olah tidak mengendahkannya.
Mungkin mereka masih terperangkap dalam mentaliti ‘warlord’ sehingga menyebabkan mereka menganggap apa sahaja keputusan yang dibuat adalah terbaik untuk parti.
Malah, pandangan yang berbeza daripada pemimpin-pemimpin parti yang lain serta akar umbi yang mahu melihat parti-parti politik Melayu dan Islam bekerjasama dalam PRU-15 ditolak ke tepi begitu sahaja.
Ada pemimpin UMNO yang tidak berani menegur keputusan yang di luar semangat Muafakat Nasional (MN) itu semata-mata kerana takut nama mereka tidak akan dicalonkan pada PRU-15.
Sikap penakut itu mesti diubah kerana tidak guna mereka dapat menjadi calon apabila parti gagal menjadi sebahagian daripada gabungan yang membentuk kerajaan.
Lebih malang lagi, UMNO terpaksa menjadi pembangkang sekali lagi sekiranya rejim PH berkuasa semula.
Masih belum terlambat bagi pucuk pimpinan UMNO yang masih berfikiran waras untuk melakukan perubahan drastik dalam usaha membuka semula jalan menuju ke meja rundingan bersama Bersatu dan PN.
Jika ada pemimpin yang berdepan masalah peribadi termasuk kes mahkamah, nasihatkanlah mereka supaya bercuti agar tumpuan parti untuk menghadapi PRU-15 tidak terganggu.
Lebih baik kalau pemimpin-pemimpin terbabit secara sukarela berundur secara terhormat bagi membolehkan tokoh-tokoh lain yang lebih berwibawa menerajui parti sehingga pemilihan diadakan.
Pengorbanan mereka itu pasti disanjung tinggi dan dihargai oleh akar umbi UMNO yang semakin bimbang apabila parti membuat keputusan yang diumpamakan seperti menggali lubang kubur sendiri.