UMNO Sabah sedia bertembung dengan Bersatu


(Utusan) – UMNO Sabah bersedia bertembung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ini seiring dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan parti itu mempertahan semua kerusi dimenangi di bawah payung UMNO semasa pilihan raya umum (PRU) lalu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, biarpun di Sabah mempunyai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), apabila pucuk pimpinan parti sudah membuat keputusan maka, UMNO Sabah sedia berdepan dengan Bersatu.

“Memandangkan pimpinan parti sudah membuat keputusan, maka UMNO Sabah akan mempertahan kerusi-kerusi yang dimenangi pada PRU lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, UMNO negeri sedia berdepan dengan mana-mana parti termasuk Bersatu pada PRU-15 bagi memastikan kerusi dimenangi semasa PRU lalu akan kekal milik UMNO.

“Kita telah mengharungi pelbagai dugaan yang besar, kita pernah menang dan kalah. Jadi, ini bukan satu rintangan yang besar untuk kita bertembung dengan mana-mana parti pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meminta semua jentera parti untuk bersiap siaga bagi berhadapan dengan PRU akan datang.

Semalam, selepas mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan Bersatu untuk bertembung kerusi dengan UMNO susulan keputusan UMNO yang tidak mahu meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

“Kita dalam Bersatu sudah ada pendirian, kalau UMNO tidak mengubah keputusan itu maknanya itulah keputusan yang mereka ambil. Maka, kalau kita terpaksa bertembung dan tiada cara untuk mengelakkannya jadi, kita akan menghadapinya,” katanya.

 



Comments
Loading...