Akhirnya Idris, tiga ADUN tarik sokongan…kerajaan UMNO berakhir di Melaka


(Warta Rakyat) – WALAUPUN sebelum ini dua daripada empat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menafikan dengan tegas mereka akan menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali namun semua itu hanyalah penafian politik.

Hari ini dua daripada ADUN tersebut iaitu ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee antara empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Ia sekaligus bermakna, Kerajaan Negeri Melaka yang dipimpin oleh Sulaiman tumbang akhirnya, bukan ‘angkara politik’ Pakatan Harapan tetapi oleh mereka yang berada dalam kerajaan sendiri.

Dua lagi ADUN ialah ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan.

‘’Kami dah tak menyokong negeri dan meletakkan jawatan. Kami berempat menandakan kerajaan hari ini defisit sokongan. Pihak pembangkang bilangannya 11, tidak menyokong tambah empat kami sekaligus kiraan itu menunjukkan kerajaan negeri hilang majoriti. Kami berempat telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kepada pejabat Ketua Menteri,’’ katanya pada sidang media di Melaka, lapor FMT

Idris berkata, beliau dan dua lagi Exco iaitu Norhizam dan Noor Efandi sudah meletakkan jawatan mereka.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu juga menyatakan bersedia sebarang tindakan yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan UMNO susulan sidang media dan pengumuman yang dibuat beliau hari ini.

Keputusan empat ADUN tersebut bermakna kepimpinan kerajaan negeri tumbang dalam tempoh 19 bulan selepas ia kali pertama berlaku pada 2 Mac 2020.

Ketika itu Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Adly Zahari tumbang seleps dua ADUN Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad keluar daripada gabungan itu.

Selain itu, ADUN PKR Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Norhizam juga meninggalkan PH dan menyertai gabungan Perikatan Nasional. Ini menjadikan sebanyak 17 wakil rakyat menyokong PN berbanding 11 di bawah gabungan PH. Pada 9 Mac 2020 Sulaiman yang juga ADUN Lendu dilantik Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Pada masa ini, PH mempunyai 11 ADUN masing-masing tujuah daripad DAP, dua PKR sementara dua daripada Amanah.

 



Comments
Loading...