Pendirian UMNO pasti gembirakan Pakatan Harapan


(Warta Rakyat) – KETIKA UMNO dan Pas membuat keputusan untuk mewujudkan Muafakat Nasional (MN) pada tahun 2019, Pakatan Harapan (PH) berasa gerun kerana ia menggabungkan dua parti terbesar orang Melayu dan kegerunan mereka semakin bertambah apabila Bersatu pula bersama kedua-dua parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PH sudah membayangkan apa akan berlaku jika ketiga-tiga parti Melayu itu bergabung dalam PRU-15.

Bagaimanapun dari masa ke semasa, kegerunan itu semakin luntur apabila kerajaan PN yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja diasak dari luar tetapi juga oleh segelintir pemimpin UMNO sehinggalah beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ketika ini ketiga-tiga parti masih berada dalam kerajaan, cuma Perdana Menteri sahaja bertukar kerana ia diambil alih oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sudah membuat keputusan apabila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tiada lagi kerjasama dengan Bersatu manakala kerjasama UMNO dengan Pas pula masih menjadi persoalan kerana Presiden UMNO itu baru-baru ini bertanya, “adakah lagi Muafakat Nasional’ dan menegaskan, ‘’lebih elok jika kerusi free for all’’.

Terbaru beliau berkata, UMNO akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi dalam PRU-14 lalu. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO mahu kembali menjadi dominan dalam persada politk tanah air.

Kenyataan beliau itu pastinya ‘menggembirakan’ PH kerana perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu akan menguntungkan mereka kerana ia sudah terbukti dalam pilihan raya umum lalu. Banyak kawasan yang sepatutnya dimenangi oleh parti Melayu terlepas ke tangan PKR kerana pertembungan antara UMNO dan Pas.

Kali ini keadaan yang sama akan berulang apabila kemungkinan UMNO dan Bersatu bertembung (sekali lagi) sekaligus akan menyebabkan undi orang Melayu berpecah. Walaupun Pas akan berusaha menjadi ‘orang tengah’ penulis percaya ia tidak akan ke mana.

Ia memandangkan UMNO begitu yakin dengan kekuatan mereka dan begitu percaya Bersatu tidak ada apa-apa kekuatan bagi menggugat kedudukan mereka. Pemimpin UMNO masih lagi dibuai dengan mimpi indah bahawa mereka mampu untuk bangkit semula sedangkan senario politik sudah berubah.

Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu akan terus berunding bersama PN dan MN bagi mengelakkan pertembungan kerusi memang niat yang baik tetapi dengan sikap ‘angkuh’ UMNO, penulis tidak yakin usaha itu akan berjaya.

Begitu juga apabila Pas menyatakan akan menyokong kerusi penyandang. Penulis tidak pasti sejauh manakah langkah akan berjaya dan adakah UMNO serta Bersatu akan selesa dengan pendirian Pas itu. Ia kerana Pas adalah anggota RASMI PN dan bekerjasama dengan UMNO dalam MN.

Justeru cara terbaik ialah mencari jalan supaya kedua-dua parti itu tidak bertembung sesama sendiri. Biarpun ia nampak sukar tetapi sekurang-kurangnya ruang perbincangan harus dibuka. Jangan biarkan apa yang berlaku dalam pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat berulang.

Bila mahu menyingkirkan Muhyiddin tidak mahu berbincang terlebih dahulu tetapi apabila mahu mencalonkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker pandai pula bercakap soal masih ada ruang berbincang dengan Bersatu.

Namun begitu penulis tidak menaruh harapan bahawa UMNO dan Bersatu akan mencapai persetujuan apatah lagi persefahaman selagi kepemimpinan UMNO tidak berubah. Oleh kerana UMNO sudah membuat keputusan tidak akan mengadakan pemilihan dalam masa terdekat, maknanya parti itu akan dipimpin oleh Ahmad Zahid dalam PRU-15 dengan dibantu oleh Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO.

Ia bermakna kalau UMNO menang besar atau dominan maka ia akan membuka laluan kepada Ahmad Zahid untuk menjadi Perdana Menteri sekaligus akan menutup peluang Ismail Sabri menyambung tugasnya. Ketika ini Ismail Sabri tidak boleh berbuat apa-apa kerana beliau hanya bertanggungjawab menguruskan negara manakala Ahmad Zahid menguasai parti. Ahmad Zahid akan menentukan segala-galanya termasuk hala tuju parti dalam berhadapan pilihan raya termasuklah pemilihan calon.

Ahmad Zahid sudah tegas menolak Bersatu atas alasan ia keputusan Majlis Tertinggi dan akar umbi UMNO manakala dengan Pas, ia masih menjadi persoalan kerana kenyataan beliau berkaitan Muafakat Nasional baru-baru ini dikatakan tidak dirujuk kepada Majlis Tertinggi.

Sebab itulah di peringkat akar umbi masih ada menaruh harapan supaya ketiga-tiga parti Melayu itu tidak berpecah sebaliknya terus bergabung dalam usaha mempertahankan kerajaan sedia ada selepas PRU-15, jika ia gagal dicapai percayalah PH akan ‘berpesta’…. Apa yang berlaku di Melaka hari ini adalah petanda awal!

 



Comments
Loading...