Anwar ucap tahniah kepada kami empat orang wira: Norhizam


(Agenda Daily) – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Norhizam yang juga salah seorang daripada empat ADUN yang menjadi punca tercetusnya krisis di Melaka berkata pertemuan dengan Presiden PKR hanya sekadar pertemuan biasa kerana berbangga dengan tindakan mereka yang berani melawan.

“Hanya perbincangan biasa sahaja, beliau (Anwar) mengucapkan tahniah kepada kami empat wira yang tidak menyokong kepimpinan Datuk Seri Sulaiman,” katanya semasa sidang media di pejabat Anwar malam ini.

Terdahulu, tular sekeping gambar dalam media sosial melibatkan empat orang ADUN yang menjadi punca krisis politik di Melaka mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang tersebut.

Untuk rekod, semalam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan pihaknya sebelum ini mengadakan rundingan dengan DAP Melaka sebelum jatuh kerajaan negeri atas arahan seorang pemimpin atasan parti yang tidak didedahkan namanya.

“Saya cakap terus terang saya berunding malam sebelum itu dengan kepemimpinan DAP, saya menawarkan beberapa solusi untuk kita membendung supaya ini (kerajaan negeri tumbang) tidak berlaku.

“Tetapi adalah lebih malang saya melihat ia tidak diterima pimpinan DAP pada waktu itu,” katanya dalam wawancara secara maya sebuah portal.

Isnin lalu, bekas KM Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga ADUN Sungai Udang bersama tiga lagi ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Dua ADUN lain yang menarik sokongan tersebut adalah Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor)dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

 



Comments
Loading...