Kroni Anwar beli firma perhotelan terkait pendakwaan rasuah Zahid


(Malaysia Now) – Syarikat yang dimiliki usahawan yang merupakan teman baik Anwar Ibrahim membeli syarikat rantaian perhotelan lima bintang yang terkait dengan kes salah laku melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Syarikat Petra Group yang dimiliki usahawan Vinod Sekhar mengumumkan menyempurnakan pembelian 51.5% saham Riyaz Hotels & Resorts, meletakkan ia di bawah entiti Petra Riyaz yang akan beroperasi sebagai sebuah “jenama hotel yang berorientasikan gaya hidup” di Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

“Nilai keseluruhan hotel-hotel dan resort ini hampir RM300 juta,” kata syarikat tersebut dalam sebuah laporan yang diterbitkan laman sesawang yang dimiliki Petra Group.

Langkah tersebut dilihat sebagai jarang berlaku ketika pandemik Covid-19 menjejaskan industri pelancongan dan perhotelan yang menyebabkan banyak pemain utama industri termasuk hotel bertaraf lima bintang terpaksa menghentikan operasi dan memberhentikan ribuan kakitangannya pada tahun lalu.

Pada minggu lepas, Hotel Istana yang bertaraf lima bintang juga turut mengumumkan operasi ditutup pada September depan, mengatakan pihaknya tidak memiliki banyak pilihan lain untuk meneruskan operasi.

“Walaupun digunakan sebagai hotel kuarantin, kami tetap menanggung kerugian operasi bulanan,” kata pengurus besarnya dalam sebuah surat kepada kakitangan dan menambah pihak hotel terjejas teruk sejak sebelum pandemik melanda negara.

Sektor perhotelan menyaksikan kerugian lebih 80% perniagaannya sejak pertama kali perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara pada Mac 2020.

Pemain industri berkata lebih dari RM6 bilion kerugian dicatatkan pada tahun lalu dan tahun ini ia dijangka akan mencatat kerugian lebih tinggi.

“Industri pelancongan dan perhotelan sememangnya menjadi industri paling terkesan dan tiada sebarang tanda ia akan pulih setakat ini.

“Ia tidak lagi boleh beroperasi; kerana industri ini sangat bergantung kepada kawalan wabak dan seterusnya dapat melonggarkan sekatan perjalan sama ada domestik atau antarabangsa,” kata Persatuan Hotel Malaysia, sebuah badan yang menaungi hotel-hotel di seluruh negara pada Mei lalu.

Perbicaraan salah laku Zahid

Rantaian perhotelan Riyaz menjadi subjek dalam perbicaraan rasuah melibatkan Zahid yang kini berdepan 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi, sebuah yayasan yang dimiliki beliau.

Dikatakan pada 2016, Zahid yang sewaktu itu memegang jawatan menteri dalam negeri terlibat dalam rundingan yang diatur anak perempuannya Nurulhidayah Ahmad Zahid bagi membincangkan jualan 60% pegangan dalam rantaian perhotelan tersebut.

Memberikan pernyataan dalam perbicaraan Zahid tahun lalu, Pengarah Urusan Ri-Yaz Group Shaheen Shah Sidek yang kini merupakan CEO of Petra Riyaz, berkata pengerusi kumpulan syarikat itu Abdul Rashid Manaf mencadangkan untuk menjual pegangannya bagi menyelamatkan syarikat tersebut, sebuah rundingan yang turut membabitkan pengambil alihan pinjaman bank Rashid oleh Nurulhidayah dan lelaki itu sebagai penjamin.

Shaheen berkata susulan pertemuan dengan bank di pejabat Zahid di pejabatnya, di Putrajaya, Nurulhidayah memaklumkan kepadanya beliau akan membayar tunggakan pinjaman berjumlah RM8.66 juta melalui peguam-peguamnya.

Bank juga kemudiannya bersetuju untuk menstruktur semula pinjaman tersebut namun ia kemudian menemui jalan buntu apabila Rashid menolak untuk kekal menjadi penjamin bagi pinjaman tersebut seperti yang ditetapkan pihak bank.

Shaheen memberitahu kamar mahkamah mengenai beberapa permintaan daripada Nurulhidayah dan bapanya Zahid supaya RM8.6 juta itu dikembalikan kerana ia adalah milik yayasan.

Shaheen berkata beliau terkejut dengan permintaan tersebut dan turut menambah dirinya tidak mengetahui wang tersebut adalah daripada yayasan.

Peguam Zahid memberitahu mahkamah wang tersebut adalah pelaburan mewakili yayasan tersebut, dan rundingan tersebut gagal selepas pembelian dirasakan tidak memberikan keuntungan.

Terdahulu, mahkamah turut diberitahu pembelian pegangan saham itu juga dibuat tanpa pengetahuan lembaga pemegang amanah yayasan.

Muhammad Fazli Zulkifli, seorang penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut berkata beliau yakin keputusan untuk menggunakan RM8.6 juta dari dana yayasan itu adalah kerana anak perempuan Zahid memiliki kepentingan.

“Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid, dia kata Yayasan Akalbudi yang berminat buat pelaburan dalam bidang perhotelan tetapi daripada saksi-saksi lain memberitahu Datuk Nurul Hidayah yang minat buat pelaburan dan bayaran dibuat oleh Yayasan Akalbudi,” kata Fazli dalam perbicaraan tahun lalu.

Pada 2019, Zulkifli Senteri, salah seorang pemegang amanah dan bekas pengarah Yayasan Akalbudi, berkata beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang mesyuarat, atau aktiviti dan kenyataan kewangan selain perbelanjaan yayasan tersebut sepanjang 15 tahun beliau di dalam lembaga yayasan.

https://www.malaysianow.com/berita/2021/07/06/usahawan-beli-firma-perhotelan-terkait-pendakwaan-rasuah-zahid/



Comments
Loading...