PRN Melaka: Hanya Zahid mahu tanding solo, MT UMNO belum buat keputusan
(Agenda Daily) – Seorang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendedahkan hanya Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu UMNO bertanding secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka tetapi setakat ini parti masih belum ada keputusan muktamad.
Zahid sebelum ini berkata parti itu akan bertanding secara solo tanpa kerjasama dengan parti lain, malah dengan angkuhnya berkata ‘no way’ terhadap sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu sama ada dalam PRN mahupun pilihan raya umum (PRU).
Mahdzir berkata sebaliknya UMNO kini belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk bergerak secara solo atau bekerjasama dengan parti lain, ia sekaligus menimbulkan tanda-tanya sama ada Zahid membuat keputusan membelakangi Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
“Setakat hari ini kita belum buat keputusan, MT yang bermesyuarat tiga hari lepas tidak buat sebarang keputusan bagaimana untuk kita hadapi PRN Melaka sekiranya diadakan dalam masa satu atau dua bulan dari sekarang.
“Jadi kita ada masa lagi, BN dan UMNO masih ada masa untuk mencari kaedah yang terbaik untuk PRN Melaka, jadi saya tidak fikir kita sudah ada keputusan untuk Umno dan BN pergi (hadapi PRN Melaka) secara solo,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau terdahulu menghadiri Majlis Pekebun Kecil Makmur Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Kuala Nerang, Kedah.
Jelasnya lagi, Zahid ada mengutarakan cadangan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti dalam mesyuarat MT baru-baru ini, bagaimanapun tiada sebarang ketetapan diputuskan badan tertingg parti itu setakat ini.
“Presiden buat kenyataan tapi presiden pulangkan balik kepada MT untuk buat keputusan, keputusan pada mesyuarat MT sebelum ini adalah kita tak buat sebarang keputusan untuk menentukan sama ada pergi solo atau sebaliknya, sampai masa kita akan mesyuarat balik,” katanya.