Apa guna UMNO menang sorak tetapi Melaka tergadai
(Warta Rakyat) – KEMENANGAN akan dicapai dengan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.
Pandangan UMNO Bahagian Arau itu disuarakan oleh Ketuanya, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam laman Facebook beliau, hari ini.
“UMNO Arau mencadangkan agar UMNO Melaka@BN Melaka bekerjasama dengan parti Bersatu dan parti PAS dalam PRN Melaka pada 20 November nanti.
“Kemenangan akan dicapai dengan cemerlang melalui kerjasama. Perpaduan adalah wajib bagi UMNO Melaka. Pendekatan secara SOLO adalah tidak wajar..itu saja,” katanya.
Saranan UMNO Bahagian Arau yang disampaikan oleh Shahidan itu sebelum ini turut dikongsi oleh ramai pemerhati politik tanah air.
Secara amnya, mereka berpandangan, UMNO tidak mempunyai keupayaan untuk memenangi PRN Melaka secara bersendirian.
Seperti yang dijelaskan oleh penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian baru-baru ini, UMNO dilihat tidak mampu bergerak solo dalam PRN Melaka sekiranya ingin kekal memegang tampuk pentadbiran di negeri itu.
Beliau berkata, UMNO perlu melihat kepada lawan mereka iaitu PH yang dilihat tidak goyah dengan kemelut yang berlaku ketika ini.
Pucuk pimpinan UMNO seharusnya sedar bahawa PH yang didominasi oleh DAP masih mempunyai pengaruh yang kuat terutamanya dalam kalangan pengundi bukan Melayu di negeri itu.
Mereka juga mempunyai kekuatan dan sumber untuk membantu kempen calon-calon Pakatan Harapan dari PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) di kerusi-kerusi majoriti Melayu.
Krisis politik dalaman yang melanda UMNO Melaka boleh menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang.
Lebih-lebih lagi, dua kerusi DUN iaitu Sungai Udang dan Pantai Kundor kini disandang oleh bekas pemimpin UMNO yang berpaling tadah menyokong PH.
Setakat ini, peluang Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan untuk memenangi semula dua kerusi DUN terbabit belum dapat diramalkan.
Sekiranya mereka bertanding sama ada sebagai calon PH atau calon Bebas, kemunculan mereka pasti menggugat kedudukan UMNO di DUN Sungai Udang dan DUN Pantai Kundor.
Kedudukan UMNO di 12 DUN yang lain juga pasti terjejas jika berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih, sekali gus meningkatkan peluang PH untuk merampas kerusi-kerusi majoriti Melayu.
Sehubungan itu, mesyuarat tiga peringkat UMNO yang dijadualkan minggu depan perlu mempertimbangkan cadangan UMNO Bahagian Arau dengan semasak-masaknya.
Memang seronok bersorak sambil mendabik dada sebagai tanda keyakinan yang tinggi untuk menumbangkan pihak lawan.
Namun, tiada gunanya menang sorak kalau Melaka sekali lagi terlepas ke tangan rejim PH gara-gara ego besar dan keangkuhan pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO.