Tarik Balik Jualan Arak Jenama Timah – Razali Idris
(PN BBC) – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris mendesak kerajaan supaya menarik balik penjualan arak berjenama Timah di pasaran.
Beliau mempersoalkan, walaupun label arak itu tidak ada kaitan dengan Islam, namun menggambarkan seolah-olah arak itu amat berkait rapat dengan budaya Islam.
“Ini bukan soal jenis arak atau bir, isunya sekarang adalah label Timah, label itu menunjukkan gambar pakai kopiah dan ada janggut, seolah-olah ia menunjukkan keislaman, sedangkan dalam Islam diharamkan arak.
“Jadi saya fikir kita minta kerajaan tarik balik penjualan arak tersebut, apakah kerajaan akan tarik balik?” katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Negara hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Senator Ahmad Yahaya turut membangkitkan isu bagaimana arak Timah boleh diluluskan.
“Saya difahamkan jenama arak ini ada kaitan dengan bahan galian timah, tetapi ia menimbulkan masalah kerana jenamanya mengaitkan dengan Fatimah, anak kepada junjungan besar Rasulullah dan ini menimbulkan polemik negara,” katanya.