Zahid ulang tiada kerjasama dengan PN
(FMT) – Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, malah Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka bulan depan, kata Presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, keputusan muktamad itu sekali lagi ditegaskan sebagaimana yang telah dibuat oleh semua perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno pada tahun lalu.
“Tak lambat dah, dulu kita dah buat keputusan tiada kerjasama dengan Bersatu. Itulah keputusan kita dan kita muktamadkan.
“Bukan setakat Bersatu sahaja kita tidak bekerjasama, ini termasuk dengan Perikatan Nasional (PN). Saya tidak nampak kita akan ke arah itu, berganding pada PRN nanti,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau mengulas perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Umno Bahagian Hang Tuah Jaya di Bukit Katil, Melaka bersama Setiausaha Agung, Ahmad Maslan.
Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin sebelum ini yang mempersoalkan kelewatan Umno memberi jawapan dalam membentuk kerjasama menghadapi PRN nanti.
Presiden Bersatu itu berkata, PN tidak boleh lama menanti jawapan daripada Barisan Nasional (BN) memandangkan ia akan menjejaskan persiapan menghadapi PRN.
Sementara itu, ditanya mengenai persiapan jentera Umno menghadapi PRN, Zahid menegaskan kesiapsiagaan jentera perlu dipertingkatkan dari sekarang dan tidak mengambil mudah perkara itu.