Umno tuduh Umno


Mohsin Abdullah, Free Malaysia Today

Bukan sesuatu yang pelik dalam politik apabila syak wasangka timbul dan tuduhan dilemparkan. Khususnya pada musim pilihan raya.

Menjelang PRN Melaka 20 November ini, ada pihak menyatakan rasa curiga terhadap Kementerian Kesihatan yang memutuskan perjumpaan serta perhimpunan politik dilarang berkuatkuasa daripada 26 Oktober hingga 27 November.

Rasa curiga, syak, dan sangsi seperti itu tidak memelikkan. Yang pelik ialah kali ini pihak yang mengesyaki adalah Veteran Umno. Pihak yang disyaki ialah kementerian yang menterinya orang Umno dalam kerajaan yang Perdana Menterinya juga orang Umno.

Ringkasnya Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, dilapor berkata tempoh hari mereka mengesyaki ada “niat tertentu” di sebalik larangan Kementerian Kesihatan (KKM) itu.

“Veteran (Umno) mengesyaki KKM mempunyai niat tidak baik terhadap Umno kerana mahu mengekang jentera parti berkempen bagi mencapai kemenangan. Dengan cara itu ia akan memberi nafas kepada Bersatu menggerakkan jentera parti yang lemah bagi menghadapi Umno.”

Syak sesuatu kementerian “membantu” kerajaan waktu pilihan raya bukan perkara baharu.

Namun dalam isu rasa curiga Veteran Umno berhubung PRN Melaka, pertanyaan pertama yang mesti diajukan ialah siapa yang mereka maksudkan?

Apa yang dinyatakan menerusi kenyataan Mustapha adalah sesuatu yang rambang. “Sweeping statement”. KKM, kementerian yang besar dianggotai ribuan kakitangan. Takkan Veteran Umno syak para doktor dan jururawat. Malah tentu bukan Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, yang mereka suspek.

Jadi adakah mereka mengesyaki Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin? Orang politik. Orang Umno sendiri. Umum tahu Khairy atau KJ adalah Ahli Parlimen yang dilantik menjadi menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional ketika kerajaan Pakatan Harapan tumbang akibat Langkah Sheraton Februari tahun lalu.

Apabila Muhyiddin Yassin dengan kerajaan Perikatan Nasionalnya undur, Khairy dilantik lagi sebagai menteri. Kali ini oleh pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sekarang. Pada era BN pimpinan Najib Razak, beliau juga seorang menteri .

Veteran Umno tidak menyebut apa-apa nama atau mana-mana pemimpin. Namun menegaskan mereka “tertanya-tanya” mengapa pengumuman mengenai larangan berkenaan dibuat Khairy dan bukannya Menteri Kanan Keselamatan Hishamuddin Hussein atau Perdana Menteri sendiri.

Pada 24 Oktober lalu, Khairy mengumumkan semua perhimpunan dan majlis sosial tidak dibenarkan sepanjang tempoh perjalanan PRN Melaka bagi “mengelakkan penularan kes dan kluster Covid-19”.

Sehingga kini ada kemungkinan PRN Melaka akan menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru termasuk membabitkan Umno dengan Bersatu meskipun kedua-duanya diwakili dalam kerajaan pusat khususnya.

Imbas kembali artikel saya 19 Oktober lalu bahawa “nasib” Ismail Sabri dan juga Presiden Umno Zahid Hamidi terikat pada PRN Melaka.

Jika Pakatan Harapan menang di Melaka ia tamparan hebat buat Zahid – memberi tekanan ke atas usaha beliau mengekalkan jawatan presiden Umno. Ismail selaku Perdana Menteri akan turut terkesan dan mungkin akan terdorong untuk mencabar Zahid pada pemilihan Umno atas alasan Umno perlu “dipulihkan” untuk menghadapi cabaran mendatang terutama PRU15.

Pun begitu kalah di Melaka akan pasti juga menyulitkan kedudukan Ismail sebagai Perdana Menteri, lebih-lebih dalam mengemudi kerjasama Umno-PAS yang tidak mahu tinggalkan Bersatu. Misi itu semakin sukar jika Ismail kekal sebagai Naib Presiden dalam Umno yang presidennya Zahid Hamidi.

Bagaimanapun jika Umno kembali menerajui kerajaan Melaka, Zahid dan Ismail pasti akan menggunakan kejayaan itu untuk memacu kempen masing-masing pada pemilihan Umno kelak.

Kesimpulannya, seperti yang dinyatakan menerusi artikel saya 10 hari lalu, kemungkinan besar keputusan PRN Melaka boleh menyelesaikan isu kepimpinan Umno, dan menentukan “kekuatan” Ismail selaku Perdana Menteri, serta mencorakkan strategi parti politik Melayu apabila menghadapi pilihan raya mendatang terutama PRU15.

Berlatar belakangkan itu mata terbuka luas apabila Veteran Umno tampil dengan rasa syak mereka terhadap KKM.

Lazim bila bercakap mengenai politik timbul ungkapan “apa yang tersurat, apa yang tersirat” serta “ada udang di sebalik batu”. Lantas kedua-dua ungkapan boleh digunakan dalam konteks rasa syak Veteran Umno itu.

Adakah Veteran Umno, kumpulan orang lama yang masih bersandarkan cara politik zaman mereka, lalu kini ketinggalan zaman dan hilang sentuhan dengan keadaan masa kini?

Atau adakah pengalaman mereka membolehkan mereka tahu apa yang umum tidak tahu, nampak apa yang ramai tidak nampak?

Atau mereka sendiri masih bermain dalam arena politik zaman ini?

Apa pun seperti kita tahu PRN Melaka terpaksa diadakan akibat sengketa orang Umno dengan orang Umno. Kini timbul orang Umno syak orang Umno?

 



Comments
Loading...