PERMOHONAN MAAF DARIPADA AHMAD ZHAFRI KEPADA DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Saya, Ahmad Zhafri Md Noor, mengakui telah menerbitkan di laman Facebook saya 18, 27 dan 28 April 2021 tiga kenyataan fitnah terhadap Dr Kamarul Zaman Bin Haji Yusoff dari Universiti Utara Malaysia.
Kenyataan Fitnah 1 saya pada 18 April 2021 adalah berbunyi:
“What A LOSER mentality.
Kerajaan Melayu Islam sudah pun memegang kekuasaan, tapi sentimen perkauman terus dimainkan oleh watak seorang pensyarah seperti ini. Kenapa harus takut orang Cina kafir memberikan bantuan kepada orang Melayu?
Kenapa harus dituduh Cina kafir itu mempunyai agenda untuk menarik sokongan orang Melayu? Bukankah anda diberikan peluang untuk berbakti dan membantu rakyat anda? Kenapa anda tidak menggunakan peluang yang ada dengan menunaikan amanah yang diberikan oleh Allah kepada anda ? JANGAN dipersoalkan MENGAPA Cina kafir itu mendapat pujian dan disokong oleh orang ramai. PERSOALKAN sendiri anda di mana ketika Cina kafir itu membantu saudara seagama anda. Tolonglah jangan rasis sangat . Loser sangat pemikiran kononnya mewakili cerdik pandai universiti. What A shame.”
Kenyataan Fitnah 2 saya pada 27 April 2021 adalah berbunyi:
“Cina Kristian Pulau Pinang belanjakan RM 4500 untuk membantu anak Melayu Kelantan dengan membelikannya motosikal.Pensyarah Melayu Islam asal Kelantan pula belanjakan RM 2000 untuk mencari siapakah anak Melayu Kelantan itu. Bulan Ramadhan ini ialah bulan AMAL. Bukan bulan BEBAL. RM 2000 itu sepatutnya digunakan untuk membantu orang Melayu lain mulakan perniagaan,
Atau membantu masjid menyediakan peralatan sanitizer. RM 2000 tak patut digunakan untuk satisfy ego dia. Ego yang tak memberikan imej yang baik terhadap Islam, bahkan memburukkan lagi nama Melayu Islam.”
Kenyataan Fitnah 3 saya pada 28 April 2021 adalah berbunyi:
“Apa punya perangai manusia macam ni.Hanya kerana berbeza politik, bangsa dan agama , bersungguh benar dia mencari kelemahan orang yang berbuat baik kepada orang lain. Siap dia tawarkan RM 2K kepada yang berjaya mencari penerima motosikal pemberian Cina Kristian itu. Pada mulanya, identiti penerima ingin disorok dan dijaga. Akhirnya kerana fitnah yang sengaja ditiup sambil mengapi-apikan sentimen perkauman, sang penerima motosikal terpaksa memunculkan diri dan mengaku dialah penerima motosikal tersebut sambil disaksikan oleh media massa.
Perangai KaYu memang melampau dan tidak lagi boleh ditoleransi. Terdapat beberapa kes saman fitnah yang sebelum ini dia hadapi . Akhir sekali dia memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu. Orang macam ni elok kena saman sampai insaf . Memang jahat perangainya. Suka benar menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
Yang saya tak faham mengapa orang macam ini masih ada yang percaya dan memegang kata-katanya. Bukankah dia sering berbohong dan menyebarkan fitnah? Saya pasti ini ajaran Islam TIDAK PERNAH mengajar umatnya memburukkan orang Jain walaupun orang itu adalah bukan Islam.”
Saya mengakui bahawa segala apa yang saya katakan tersebut adalah tidak benar, sebaliknya saya kini menegaskan bahawa:
(a) Dr Kamarul Zaman tidak mempunyai mentaliti pengalah (loser mentality).
(b) Dr Kamarul Zaman tidak memainkan sentimen perkauman.
(c) Dr Kamarul Zaman tidak takut orang Cina memberi bantuan kepada orang Melayu.
(d) Dr Kamarul Zaman tidak menuduh orang Cina ada agenda menarik sokongan orang Melayu.
(e) Dr Kamarul Zaman tidak berpewatakan rasis dan memalukan.
(f) Dr Kamarul Zaman tidak membuat perlakuan bebal di bulan Ramadhan.
(g) Dr Kamarul Zaman tidak membelanjakan wang untuk memuaskan egonya yang tidak memberikan imej yang baik terhadap Islam.
(h) Dr Kamarul Zaman tidak bersungguh mencari kelemahan orang lain yang berbeza politik, bangsa dan agama dari beliau.
(i) Dr Kamarul Zaman tidak meniup fitnah yang mengapi-apikan sentimen perkauman.
(j) Dr Kamarul Zaman tidak bersifat jahat dan suka timbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
(k) Dr Kamarul Zaman tidak berbohong dan menyebarkan fitnah.
Saya dengan ini menarik balik segala dakwaan yang telah dibuat terhadap Dr Kamarul Zaman tersebut, memadamkannya daripada laman Facebook saya dan berjanji untuk tidak membuat apa-apa tuduhan yang seumpamanya terhadap beliau pada masa hadapan.
Saya juga memohon maaf atas kecederaan, kehilangan dan mudarat pada diri Dr Kamarul Zaman secara peribadi dan pada reputasinya dalam kapasiti peribadi dan profesional beliau serta atas kesusahan dan kegelisahan yang dialami oleh beliau ekoran daripadanya.
Saya sesungguhnya menyesali keterlanjuran saya tersebut dan mengakui membuat status-status tersebut dalam keadaan kekurangan maklumat yang ada di samping terpengaruh dengan bacaan di portal-portal berita dan status-status media sosial yang berkait dengan beliau.
Terima kasih.