PH suka katak, pengkhianat ‘hawau’ Umno jadi ‘modal’ buat lawan
Low Choon Chyuan, Malaysiakini
Langkah Pakatan Harapan (PH) menerima pemimpin Umno yang melompat parti untuk bertanding di bawah tiket pembangkang dalam pilihan raya negeri (PN) Melaka dijadikan modal kempen buat lawannya.
Musuh gabungan parti politik itu menggambarkan bekas pemimpin Umno berkenaan sebagai ‘hawau pengkhianat’ , manakala PH pula “menyukai katak”.
Beberapa sepanduk dipasang oleh individu tidak dikenali di Melaka untuk menggambarkan naratif ini.
Beberapa kain rentang dalam tulisan bahasa Cina yang berbunyi: “Tikus suka nasi, Harapan sayang katak” dinaikkan di Melaka, termasuk di Ayer Keroh dan Bukit Beruang.
Ia bagaimanapun telah diturunkan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sementara itu, sepanduk memaparkan karikatur Idris Haron dipasang di sebuah lebuh raya di Alor Gajah.
Karikatur itu menunjukkan Idris membawa papan tanda bertulis “DAP”.
Kapsyen sepanduk itu berbunyi: “Hawau pengkhianat”.
Idris sebelum ini mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Umno-Bersatu dan cuba membentuk kerajaan baru bersama PH.
Bagaimanapun, dia disingkirkan selepas Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali memohon pembubaran DUN, yang membuka laluan kepada pilihan raya negeri.
Selain Idris, Nor Azman Hassan (Pantai Kundor – Umno) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas – Bersatu) turut dipecat daripada parti masing-masing.
Individu keempat dalam kumpulan itu ialah Norhizam Hassan Baktee.
Dia memenangi kerusi Pengkalan Batu atas tiket DAP pada 2018 tetapi menjadi Adun bebas untuk menyokong kerajaan Umno-Bersatu sebelum turut menumbangkan kerajaan negeri berkenaan.
SPR digesa pastikan kempen adil
Hanya Idris dan Nor Azman dicalonkan oleh PH untuk bertanding menentang calon daripada bekas parti mereka.
Idris akan beralih dari kawasannya di Sungai Udang untuk bertanding di kerusi PKR di Asahan, manakala Nor Azman bertanding atas tiket Amanah di Pantai Kundor yang juga kerusi yang disandangnya.
Noor Effandi dan Norhizam bagaimanapun diketepikan.
Norhizam ditolak untuk mewakili pembangkang selepas menerima bantahan keras DAP. Dia kini akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi yang disandangnya di Pengkalan Batu.
Sementara itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, ketika ditanya sama ada parti itu akan berkempen di Asahan dan Pantai Kundor, mengelak untuk menjawab soalan itu.
“Anda perlu tanya kepada setiausaha agung (Lim Guan Eng) soalan ini. Anda bertanya kepada orang yang salah. Saya bukan dalam jawatan kepimpinan,” kata Kit Siang pada sidang media di Bilik Gerakan pilihan raya PH di Ayer Keroh.
Lim berkata DAP menentang usaha meletakkan mana-mana daripada empat individu itu tetapi tidak bagi PKR dan Amanah.
Sementara itu, pengarah pendidikan politik DAP, Liew Chin Tong, yang turut hadir pada sidang media itu, menggesa SPR menyiasat platform berkempen yang sesuai berikutan sekatan yang ketat akibat wabak Covid-19.
“Salah satu cara adalah dengan mencontohi debat (presiden MCA) Wee Ka Siong dan Lim Guan Eng dengan menganjurkan siaran langsung untuk calon ketua menteri,” katanya.
“Anda tidak boleh menggunakan sumber persekutuan untuk berkempen untuk parti anda sedangkan parti lain tidak mempunyai sumber,” tambahnya.
Tegasnya, SPR perlu bertindak adil dan bebas daripada campur tangan politik.