Rafizi sindir Anwar terima ‘katak berprinsip’ di Melaka
(Agenda Daily) – Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyindir bekas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas keputusan untuk meletak dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Rafizi mempersoalkan langkah yang diambil PKR dan Amanah yang masing-masing akan meletak calon yang sebelum ini menjadi punca kejatuhan kerajaan Melaka susulan tindakan mereka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
“Kah3 katak berprinsip. Kalau kena kat muka kita #pengkhianat. Kalau konon untungkan kita ‘katak berprinsip’.
“Bahana jadi menteri 22 bulan prinsip semua jadi kabur,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Kritikan Rafizi berhubung isu ‘katak berprinsip’ dipercayai merujuk kepada kenyataan Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad yang mendakwa pendirian bekas pemimpin UMNO itu adalah “pendirian berprinsip dan mereka terpaksa membayar harganya”.
Khalid berkata situasi katak politik yang mahu diterima PKR dan Amanah berbeza.
Anwar semalam menamakan dua bekas ADUN UMNO Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan masing-masing bertanding di kerusi Asahan dan Pantai Kundor.
Ketua Pembangkang itu turut mengumumkan Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.