UMNO koyak bila Pas pilih PN


UMNO patut salahkan diri sendiri apabila Pas mengambil keputusan untuk bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan bersama-sama.

(Suara Merdeka) – Sejak awal lagi Pas telah mengajak kesepakatan diperluas dengan masuk ke dalam PN bersama-sama Bersatu dan beberapa buah parti lain bagi membentuk kerajaan yang stabil yang sekaligus akan melancarkan pentadbiran negara.

Bagaimanapun UMNO telah memutuskan untuk tidak menyertai PN dan itu menyebabkan renggangnya hubungan dengan Pas dan Bersatu.

Selepas memutuskan untuk bekerjasama dengan Bersatu, UMNO telah menarik sokongan kepada kerajaan PN sehingga menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Sejak itu Pas memang tidak lagi berminat untuk menjalin hubungan dengan UMNO yang dianggap terlalu beremosi dan tidak stabil kerana sering berlaku pertelagahan dalam kalangan pemimpinnya.

Jadi apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menghentam Pas kerana tidak bersama parti itu, jelas menunjukkan mereka sangat kecewa.

Khaled harus sedar UMNO yang mula khianat kepada kesepakatan parti-parti utama Melayu dan Islam apabila mengadakan rundingan sulit dengan parti-parti lain ketika mahu menjatuhkan kerajaan PN.

Walaupun hakikatnya pilihan raya negeri Melaka akan mudah dimenangi jika tiga parti utama itu bekerjasama, namun segalanya sudah terlambat, apabila keputusan telah dibuat dan menyaksikan pertembungan tiga penjuru di semua 28 kerusi dewan undangan negeri.

Jadi UMNO yang mendakwa mempunyai kekuatan sendiri perlu membuktikan mereka mampu melaksanakannya dan tidak lagi menyalahkan pihak lain kerana kekacauan yang timbul juga berpunca dari parti UMNO sendiri.

Pemimpin UMNO sendiri yang bergaduh kerana berebut jawatan ketua menteri dan menyebabkan kerajaan terbubar.

UMNO perlu yakinkan pengundi Melaka bahawa mereka wajar diberi peluang kedua untuk memerintah negeri ini dan tidak lagi bertelagah kerana gilakan kuasa.



Comments
Loading...