PRN Melaka: Pengundi takut pilih UMNO nanti jatuh lagi sekali


(Agenda Daily) – Pengundi di Melaka bimbang untuk memilih calon daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana bimbang kerajaan akan dijatuhkan sekali lagi oleh pemimpin itu sendiri seperti yang berlaku sebelum ini.

Insiden pergaduhan sesama pemimpin UMNO sehingga menjadi punca kejatuhan kerajaan Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum ini menyebabkan mereka trauma untuk memilih calon yang bertanding atas tiket BN itu sekali lagi, malah pengundi agak skeptikal tidak menolak ia boleh berulang sekali lagi.

Malah, pengundi melihat langkah BN meletak Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang didakwa punca kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan apabila bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya akan menyebabkan kemelut politik dalaman parti akan berterusan.

Majoriti mengetahui Rauf mempunyai pengaruh yang kuat dalam UMNO kerana mempunyai hubungan rapat dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ia bagaimanapun tidak disenangi pengundi kerana mengetahui akar umbi UMNO tidak menyukai calon KM yang bakal diketengahkan BN itu.

“Wakil rakyat UMNO yang menjatuhkan kerajaan dipimpin oleh Ketua Menteri UMNO, jadi untuk apa pengundi memilih UMNO dan BN pada PRN kali ini jika tidak mustahil selepas ini kerajaan negeri akan jatuh sekali lagi.

“UMNO tidak menyakinkan orang ramai mengapa mereka perlu dipilih sekali lagi untuk menerajui kerajaan negeri, Rauf pun bukannya sangat digemari oleh akar umbi UMNO di Melaka ini,” kata seorang pengundi Rahman Abdul Karim, 45, seorang pekerja swasta.

Rahman meragui calon UMNO dipilih bertanding akan setia dengan parti itu selepas ini, malah bekas pemimpin senior UMNO seperti Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan pun sanggup meninggalkan parti itu dan kini bertanding atas tiket pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

“Idris dan Azman adalah pemimpin lama dalam parti tapi mereka berdua juga tidak senang dengan cara pendekatan Rauf menguruskan parti di negeri itu.

“Jika pemimpin lama ini pun sudah lari daripada UMNO, apakah dengan calon baharu yang diketengahkan kali ini akan setia dengan parti sekiranya Rauf berterusan mengawal parti sesuka hatinya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, seorang pengundi muda, Iskandar Danial, 25, pula tidak melihat UMNO dan BN sebagai pilihan anak muda kerana susuk-susuk pencetus krisis politik di Melaka masih menjadi pertaruhan pada PRN Melaka kali ini, sebagai contoh Rauf dan Sulaiman.

“Calon baharu yang diperkenalkan BN kali ini hanya sekadar cuba mengaburi pandangan mata pengundi kerana pencatur utama adalah masih orang lama seperti Rauf dan Sulaiman.

“Jadi, bagaimana calon-calon muda yang dicalonkan BN ini akan dapat menyakinkan pengundi untuk memilih mereka apabila dilihat akan dikawal oleh Rauf,” katanya lagi.

Rauf juga disebut-sebut sebagai calon KM Melaka yang baharu jika BN berjaya memenangi PRN Melaka, malah pemimpin utama UMNO juga dilihat sentiasa bersama calon DUN Tanjung Bidara dalam kempen di negeri tersebut.

Kerajaan UMNO di Melaka tumbang susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai bekas wakil rakyat UMNO kawasan Sungai Udang, Idris, pada 4 Oktober lalu yang mengumumkan keputusan mereka menarik sokongan terhadap Sulaiman.

Tiga yang lain ialah Nor Azman (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November lalu sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November bagi pengundian awal dan 20 November pengundian biasa.

 



Comments
Loading...