Berang Putrajaya timbang beri Najib rumah RM100 juta, PH sedia kaji semula MoU, kata Anwar


(FMT) – Pakatan Harapan (PH) tidak teragak-agak mengkaji semula segala bentuk persefahaman dengan kerajaan susulan tindakan Jemaah Menteri sebulat suara menerima permohonan menghadiahkan Najib Razak, sebidang tanah dan sebuah rumah bernilai RM100 juta.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak pernah dibincang atau dimaklumkan kepada PH, dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.

“Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Ahli Parlimen Pekan (Najib Razak) telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB.

“Keputusan yang amat mengejutkan ini memaksa kami untuk mengkaji semula segala bentuk persefahaman yang wujud sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.

Pada 13 Sept, kerajaan dan PH memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Selain itu, tujuh tawaran dipersetujui bersama membabitkan mewujudkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti; pelaksanaan Undi 18; mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dan keanggotaan seimbang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Tawaran lain adalah setiap Rang Undang-Undang, termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama; pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Bagaimanapun, Anwar pada 16 Okt, menolak tawaran berjumlah RM33,500 sebulan seiring langkah kerajaan menaik taraf fungi Ketua Pembangkang termasuk kemudahan setara dengan menteri.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden PKR berkata, tindakan Jemaah Menteri untuk “menghadiahkan” tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah ternyata keputusan paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal.

“Malah beliau sehingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri,” katanya.

Cabar Ahli Parlimen

Terdahulu di Melaka, Anwar mencabar Ahli Parlimen kerajaan menyatakan pendirian mereka secara jelas jika Putrajaya bersetuju menawarkan plot tanah termasuk sebuah kediaman bernilai RM100 juta kepada bekas Perdana Menteri itu.

Dalam majlis minum petang bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu di Little India, Anwar turut menyelar permohonan Najib kepada kerajaan, bagi mendapatkan kediaman dan tanah.

Beliau juga sempat mengajukan soalan kepada seorang lelaki berusia yang duduk meja bersebelahan, adakah beliau mudah memperoleh RM100 sehari, di mana lelaki berkenaan hanya menggelengkan kepalanya.

“Apatah lagi RM100 juta?” kata Presiden PKR itu dengan nada marah.

“Saya mahu tengok siapa daripada Ahli Parlimen Umno, Bersatu, PAS dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang menyokong memberi (pemberian plot tanah dan kediaman) RM100 juta kepada Najib.

“Kalau sokong, siap,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, mengesahkan Putrajaya menerima permohonan daripada Najib bagi mendapatkan plot tanah dan kediaman, sehingga menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen pembangkang, termasuk bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan itu, dengan Presiden Pejuang itu juga mengkritik keras Najib yang juga bekas Presiden Umno.

Mahathir sebelum itu bertanya kepada Tengku Zafrul mengenai laporan Najib memohon 1.13 hektar tanah lot daripada kerajaan. Hartanah terbabit didakwa berada di Bukit Petaling, Kuala Lumpur.

 



Comments
Loading...