Covid-19: Doktor Sungai Buloh beri amaran ‘gelombang Disember’


Seorang doktor yang bertugas di hospital Sungai Buloh memberi amaran mengenai kemungkinan gelombang baru Covid-19.

(Mkini) – Dalam satu ciapan di Twitternya, Dr Azfar Kamal berkata, wad rawatan biasa dan unit rawatan rapi untuk pesakit Covid-19 di hospital itu semakin meningkat dengan pesakit kategori 4 dan kategori 5.

Kategori 4 merujuk kepada pesakit yang bergejala, mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen, manakala kategori 5 merujuk kepada pesakit yang kritikal.

“Rakyat Malaysia yang dihormati. Tolong waspada kita menjangkakan gelombang seterusnya Covid-19 pada Disember.

“Akan ada lonjakan kes untuk dua minggu akan datang. Pusat Covid sedang bersiap sedia untuk menjangka gelombang seterusnya.

“Wad dan unit rawatan rapi (ICU) hospital kembali dipenuhi oleh pesakit COVID-19 kategori empat dan lima,” ciapnya.

Sehubungan itu, dia menggesa rakyat Malaysia supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kerap mencuci tangan, menggunakan pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan memberitahu Malaysiakini bahawa Hospital Sungai Buloh akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi mengenai situasi di hospital itu.

Nilai kebolehjangkitan (R-naught) bagi Covid-19 ialah 1.04 setakat semalam. Selagi angka itu melebihi 1.00, ia menunjukkan penularan Covid-19 yang semakin pantas.

Hospital Sungai Buloh adalah hospital utama merawat pesakit Covid-19 di Lembah Klang.

Kemasukan harian pesakit Covid-19 di Lembah Klang sejak tujuh hari lalu meningkat 17 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Walaupun hampir 94.1 peratus penduduk Lembah Klang telah menerima vaksinasi Covid-19, individu yang divaksin masih boleh dijangkiti virus itu.

Vaksinasi mengurangkan risiko penyakit yang serius akibat Covid-19 namun dengan menurunnya imuniti dan individu yang memiliki penyakit sedia ada masih boleh mendapat kesan yang serius jika dijangkiti virus berkenaan.



Comments
Loading...