Ilham Centre: BN Mendahului
(Mynewshub) – Kaji selidik dibuat Ilham Centre merumuskan BN kini berada di depan berbanding parti lain namun ada beberapa kejutan berpotensi untuk berlaku.
Berdasarkan tinjauan ke atas 1,051 responden dari 23 Okt hingga 15 Nov, Ilham Centre mendapati BN sedang mengatasi di 11 kerusi iaitu Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim.
Sementara itu, Ilham Centre berkata PH di mendahului tujuh kawasan – Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Baki 10 lagi kerusi pula menunjukkan BN dan PH mempunyai peluang sama iaitu di Asahan, Kelebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek.
“BN perlu memenangi sekurang-kurangnya empat daripada 10 kerusi panas untuk memperoleh majoriti mudah bagi menguasai Melaka. Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun mempunyai peluang untuk melakukan kejutan di Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban,” katanya.
Ketika ini, kata Ilham Center, PH sedang menghadapi situasi yang mencabar.
Ia menegaskan walaupun ada beberapa faktor memihak kepada PH pada pilihan raya umum (PRU) lalu, gabungan berkenaan hanya berjaya mengatasi lawan dengan majoriti mudah apabila memenangi 15 daripada 28 kerusi.
Ia mencatatkan beberapa faktor yang menggalakkan pada masa itu bagi meletakkan PH memenangi PRU tersebut, seperti peratusan keluar mengundi yang tinggi (84.7 peratus) di Melaka, tahap sokongan bersejarah Cina sebanyak 89 peratus dan perubahan sokongan Melayu akibat skandal kleptokrasi BN.
Faktor calon dari PH
Bagaimanapun kata Ilham Center, faktor itu tidak berbangkit dalam PRN ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus tetapi Ilham Center berkata ia mungkin lebih rendah pada esok kerana kekurangan minat akibat sekatan kempen yang terlalu ketat, kebimbangan mengenai pandemik Covid-19 dan kekecewaan pengundi.
“Jika peratusan keluar mengundi pada 20 Nov di bawah 80 peratus, sukar bagi PH untuk mengekalkan prestasi cemerlang yang dicapai pada PRU ke-14,” katanya.
Ilham Center berkata bahawa kelebihan PH adalah populariti calon ketua menterinya, Adly Zahari.
Berdasarkan tinjauan itu, Ilham Center berkata 57 peratus responden lebih mengutamakan dasar Adly semasa dia menjadi ketua menteri berbanding penggantinya Sulaiman Md Ali atau pendahulu, Idris Haron.
Bagaimanapun, kata firma itu kecacatan yang ditimbulkan sendiri adalah keputusan PH untuk meletakkan pembelot Umno dalam pilihan raya kali ini.
“PH berharap pengaruh mereka, khususnya Idris yang merupakan bekas ketua menteri dan memegang pelbagai jawatan politik dan NGO, dapat meningkatkan sokongan PH di kawasan lain (di luar pangkalan sokongan terasnya).
“Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan lapangan, nampaknya ia memberi kesan sebaliknya… Sebanyak 63 peratus responden menolak Idris sebagai calon PH,” katanya.
Dalam keadaan itu, kata Ilham Center, BN mempunyai kelebihan tetapi PN – walaupun sebagai ‘underdog’ – menyusun kempen yang kuat dan juga melakukan beberapa langkah simbolik, termasuk menamakan calon ketua menteri wanita Mas Ermieyati Samsudin.
Menurut Ilham Center persaingan PN menentang BN kebanyakannya tertumpu di kawasan yang mempunyai majoriti besar Melayu.
“Tetapi kami melihat semakin banyak PN merampas sokongan Melayu di kawasan ini, lebih besar peluang untuk PH menang kerana pertandingan tiga penjuru,” katanya sambil merujuk Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban.
Ilham Center menambah, untuk menang PN mesti memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus sokongan Melayu namun ia merupakan angka yang sangat tinggi untuk memecahkan penguasaan BN.