Ahmad Zahid, pemimpin bermasalah perlu disingkir jika mahu UMNO berubah


(Utusan Online) – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur atau disingkirkan daripada menyandang jawatan Presiden UMNO sekiranya mahu parti itu berubah.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, pemimpin-pemimpin UMNO yang dilihat menjadi ‘liabiliti’ kepada parti juga perlu berbuat demikian kerana hanya dengan cara itu UMNO dapat menarik semula pengundi yang ‘lari’ semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jelasnya, Ahmad Zahid dan pemimpin-pemimpin parti yang terlibat seeloknya hanya membantu UMNO dalam aspek kerja-kerja di sebalik tabir.

“Elok juga mereka memberi semula apa yang mereka perolehi daripada UMNO selama ini. Kepada ahli-ahli UMNO, saya ingin ingatkan bahawa memekik ‘Hidup Bossku’ sebagai merayakan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan cara yang betul.

“Ia memakan diri sendiri. Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk antara pemimpin UMNO yang sedang dibicarakan di mahkamah berkaitan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Gesaan untuk beliau berundur daripada kepimpinan parti bukan sekali ini malah, beberapa penganalisis politik sebelum ini juga menyuarakan perkara yang sama.

Pemimpin UMNO lain termasuk Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan perbuatan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam pada itu, Abdul Hamid mengingatkan bahawa kemenangan UMNO-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri pada Sabtu lalu bukan kemenangan bagi Ahmad Zahid sebaliknya suatu penghinaan kerana PRN juga tidak menjadikannya sebagai ketua menteri atau perdana menteri negara ini.

Jelasnya, pengajaran paling penting untuk UMNO ialah mesti sedar bahawa orang Melayu telah memberi parti itu peluang sekali lagi dan pemimpin-pemimpin parti juga diingatkan tidak bersikap angkuh serta mengulangi amalan politik wang yang menjadi ‘kanser’ merebak dari dalam.

“Orang Melayu mengundi UMNO-BN kerana sumbangan UMNO kepada mereka dan negara sejak merdeka. Mereka sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat titik hitam dalam sejarah UMNO dengan harapan ia akan membersihkan diri selepas ini.

“Pemimpin-pemimpin UMNO hendaklah berhenti daripada terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa kerana faktor inilah yang telah membawa kepada kejatuhan UMNO dan PRU14 lalu,” katanya.

 



Comments
Loading...