Didesak berundur, Anwar berdolak-dalik cari jalan selamatkan diri
(Agenda Daily) – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didesak meletak jawatan mencari jalan untuk menyelamatkan kedudukannya dengan mengumumkan pula satu pembentukan jawatankuasa penilaian bagi mengkaji kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Anwar yang ditekan sekali lagi sejak gagal dalam usahanya untuk menjadi Perdana Menteri (PM) sebelum ini, memberi alasan satu kajian terperinci perlu dijalankan bagi mengenalpasti punca kekalahan dan masih tidak mengakui dirinya sebagai punca kekalahan sebenar di Melaka.
“Jangan nampak pandangan itu dilihat sebagai angkuh, yang menimbulkan reaksi tidak baik dalam kalangan yang lain.
“Mengenai post mortem, itu segera dilakukan dan tadi, saya berjumpa semua Ahli Parlimen (PH) dan pesan pada semua pemimpin negeri, selain satu jawatankuasa bebas diwujudkan bagi membuat penilaian,” katanya dipetik dalam laporan BH.
Anwar masih tidak menerima kenyataan beberapa keputusan kontroversinya menjadi punca kekalahan di Melaka, malah masih mempertahankan langkah dengan meletak dua calon ‘katak berprinsip”.
“Apabila DUN (Dewan Undangan Negeri) dibubar, kita ada masalah. Bagaimana kita boleh ketepikan dan buang begitu saja (ADUN berkenaan). Orang-orang ini (mereka yang mengkritik) tidak peduli itu semua,” katanya lagi.
Presiden PKR juga berkata akan mengambil kira semua pandangan yang dilontarkan, termasuk kritikan mengenai silap percaturan dengan keputusan mengambil dua bekas ADUN Barisan Nasional (BN) bagi mewakili PH, selain desakan supaya beliau berundur daripada memimpin pembangkang.
“Saya kena pikul tanggungjawab, saya tidak dapat nafikan tapi orang bila buat begitu (kritikan mengenai pengambilan dua ADUN, dia tidak cerita sepenuhnya,” katanya lagi.
Pada PRN Melaka, PH hanya menang lima kerusi iaitu empat oleh DAP dan satu daripada Parti Amanah manakala PKR tewas di semua 11 kerusi yang ditandingi.
Terdahulu, seorang ADUN DAP, Lee Chin Chen mendesak pengunduran Anwar selaku Ketua Pembangkang.
ADUN Bilut itu berkata PH perlu mencari pengganti baharu dan bukan bergantung semata-mata kepada Anwar yang dilihatnya gagal dalam memimpin blok pembangkang itu dengan baik selepas kekalahan PRN Melaka.
“Izinkan saya menjelaskan hujah saya secara jelas terlebih dulu: Saya berharap Anwar akan melepaskan baton kepimpinan, berada di belakang kepimpinan dan membantu pengganti generasi baru mencapai tahap yang baru.
“Saya menyeru Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baru. Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu,” katanya.