Nazir Razak mohon sokongan Agong untuk menubuhkan platform ‘Reformasi’
(Malaysiakini) – Tokoh perbankan, Nazir Razak, bersama sekumpulan 54 individu terkemuka lain menggesa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah dan Majlis Raja-raja memperakui penubuhan sebuah platform tanpa partisan untuk mencadangkan pembaharuan ketika negara berdepan pelbagai cabaran.
Cadangan itu – yang disampaikan melalui sepucuk surat – menyatakan seorang demi seorang perdana menteri menjanjikan pembaharuan yang besar, tetapi ia kemudian sering dibayangi nada perkauman dan agama sehingga akhirnya hanya sedikit perubahan dicapai.
Selain itu, mereka berkata ahli parlimen sering gagal menangani isu struktur kerana mereka sering mengutamakan kepentingan jangka pendek dan pilihan raya mereka sendiri.
Justeru, kata kumpulan terbabit, satu platform perbincangan – yang dicadangkan agar dinamakan sebagai “Perhimpunan Malaysia Yang Lebih Baik” – akan menjadi pendekatan yang lebih berkenaan untuk mendorong pembaharuan.
Menurut mereka, wakil rakyat hendaklah menjadi pemimpin bukan partisan dan bersuara untuk pelbagai lapisan masyarakat Malaysia, manakala komposisinya harus dipersetujui terlebih dahulu oleh satu pasukan yang terdiri daripada perdana menteri, ketua pembangkang dan pemimpin masyarakat sivil.
Sebarang kebuntuan dalam pemilihan ahlinya, kata mereka, hendaklah dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk keputusan muktamad.
Tambah Nazir dan kumpulan berkenaan, platform itu akan membincangkan isu-isu kenegaraan dan reformasi institusi, termasuk sistem pilihan raya, pembiayaan politik, hubungan persekutuan-negeri, peranan institusi, tindakan afirmatif dan pendidikan.
Ia dicadangkan untuk mengenal pasti dasar khusus dan perubahan perundangan yang diperlukan – yang dianggarkan mengambil masa 18 hingga 24 bulan – melalui perbincangan secara tertutup untuk mencapai kata sepakat.
“Syor Perhimpunan Malaysia Yang Lebih Baik ini akan dikemukakan kepada parlimen untuk pertimbangan dan perbahasan serta undian.
“Keputusan Parlimen kemudian akan tertakluk kepada pengesahan Tuanku.
“Proses ini tidak akan menjejaskan bahkan sebaliknya meningkatkan demokrasi kita,” tulisnya.
Jika Agong dan Majlis Raja-raja memberi lampu hijau, Nazir dan kumpulan itu berkata, mereka akan bekerjasama dengan kerajaan, pembangkang dan NGO utama untuk mengusahakan butiran badan terbabit.
Surat itu bertarikh 29 Okt dan ditandatangani bersama oleh ramai tokoh terkemuka, termasuk ahli politik, ahli akademik, pemimpin NGO, bekas penjawat awam kanan dan pemimpin korporat dalam kapasiti peribadi mereka.
Ia diedarkan kepada media selepas berakhirnya Mesyuarat Ke-257 Majlis Raja-raja, semalam.
Menurut Bernama, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad berkata Majlis Raja-raja membincangkan pelbagai isu seperti pelantikan hakim dan jawatan lain, Rancangan Malaysia Ke-12 dan keadaan ekonomi Malaysia.
Dalam laporan itu tiada disebutkan mengenai cadangan penubuhan badan yang disebut Nazir serta 54 individu terbabit.