PRN Sarawak: DAP minta PKR usah bazir masa, tenaga lagi
(Malaysiakini) – Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jien meminta PKR negeri itu tidak “membazir masa dan tenaga” membicarakan isu agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mereka sebagai tidak sah.
Sebaliknya Chong berkata, lebih baik untuk PKR memberi fokus penuh kepada 47 kerusi yang akan mereka tandingi di bawah persetujuan bersama dan berusaha memenangi sebanyak mungkin kerusi.
“Jangan bazirkan masa dan tenaga yang berharga untuk merebut kerusi hingga terlupa matlamat untuk menang dalam perang menentang GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, PKR Sarawak mendakwa perjanjian rundingan kerusi PH negeri itu terbatal dan tidak sah kerana dikatakan dibuat di antara DAP dengan bekas pengerusi PKR, Larry Sng, dan tidak mendapat persetujuan akar umbi.
PKR juga mendakwa mereka telah cuba merundingkan pengagihan kerusi untuk menghadapi PRN tidak lama lagi namun ditolak DAP Sarawak.
Pada 2 Jan lalu, PH Sarawak bersetuju agar PKR bertanding di 47 kerusi, manakala DAP 26 dan Amanah di sembilan yang lain. Perjanjian itu ditandatangani oleh Sng, Chong dan Pengerusi Amanah Sarawak Abang Abdul Halil Abang Naili.
Sebulan kemudian, Sng melompat meninggalkan PKR untuk menjadi ahli parlimen bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN).
Kata Chong, persetujuan di antara tiga parti terbabit didahului dengan banyak pusingan rundingan dan bukan sekadar melibatkan Sng, malah turut kerap dihadiri beberapa ahli jawatankuasa negeri dari PKR, seperti Joshua Jabeng dan Abang Zulkifli Abang Engkeh yang kini memangku jawatan pengerusi PKR Sarawak.
“Pada hari tersebut, Sng menandatangani (persetujuan) bagi pihak jawatankuasa PKR negeri, yang ramai juga hadir. Itu merupakan keputusan jawatankuasa negeri secara keseluruhan, bukan keputusan Sng seorang.
“Hanya kerana Sng kemudian meninggalkan PKR, ia tidak bermaksud semua keputusan terdahulu terbatal dan harus dikaji semula.
“Bukan begitu caranya (dalam) perjanjian. Ia perjanjian di antara parti dengan parti, perubahan seorang pemegang jawatan tidak memberi kesan kepada kesahihan perjanjian itu.
“Di pihak kami pun (DAP Sarawak) telah mengalah dalam beberapa kerusi bagi mencapai perjanjian pada 2 Jan itu,” katanya lagi.
Chong sebelum ini mengumumkan calon DAP untuk 18 kerusi yang bakal ditandingi mereka, termasuk di Kemena, Senadin, Pujut dan Piasau.
PKR Sarawak sebelum ini meminta untuk bertanding di empat kerusi tersebut, tetapi DAP “enggan terlibat dalam sebarang rundingan”.