Najib berbuih mulut tuduh saya, tapi saya bayar cukai, sindir Tun M
(Agenda Daily) – Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Datuk Seri Najib Razak yang mengeluarkan bermacam-macam ‘bukti’ berkenaan pajakan tanah di Langkawi untuk disamakan dengan permohonan hartanah RM100 jutanya.
“Nampaknya ada orang yang berbuih mulut tuduh saya dapat macam-macam daripada Kerajaan selepas bersara dari jawatan Perdana Menteri (PM).
“Ada juga dikeluar “bukti” berkenaan pajakan tanah di Langkawi. Pajakan dengan bayaran bukan makna hadiah. Bukan dapat free, diskaun pun tidak.
“Agaknya orang ini cuba nak alih pandangan dari masalah dia ‘tolak’ permintaan dia sendiri untuk dapat hartanah mewah dari Kerajaan. Ada orang beritahu saya mewah tahap kayangan,” katanya menulis di dalam blog beliau, chedet.cc, hari ini.
Tanpa menyatakan siapa yang beliau maksudkan, tetapi dipercayai ditujukan kepada Najib, bekas PM dua kali itu mengakui memajak tanah di pulau berkenaan, tetapi memulangkan semula kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) setelah sewa dinaikkan berkali ganda.
“Saya akui saya pajak tanah. Pajak, bukan minta. Pajak kena bayar. Tak dapat free pun. Saya juga beli dua keping tanah di Langkawi selepas bersara.
“Tidak ada yang saya dapat percuma sebagai hadiah dari Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Sebaliknya kos sewaan dinaikkan berkali ganda sehingga saya serah balik kepada LADA, Langkawi,” katanya.
Dr Mahathir berkata beliau bersedia disiasat setelah dituduh melakukan ‘salah laku, termasuk ketika beliau mula mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Macam-macam tuduhan yang dibuat tentang “salah laku” saya. Kalau benar dakwa lah. Kalau bersalah hukumlah. Malahan masa saya mula buka mulut pasal 1MDB berbagai usaha nak tuduh saya buat salah dilakukan kepimpinan masa itu. Bila gagal sampai tukang masak saya pun dilucut jawatan. Isteri saya pun turut disoal siasat.
“LHDN pula siasat anak-anak saya. Alhamdulillah, cukai semua dibayar ikut undang-undang dan tak timbul hutang cukai sampai berbilion. Jadi tak perlu mintak pelepasan passport untuk ke luar negara,” katanya menyindir Najib dan anaknya yang berhutang berbilion ringgit cukai LHDN.
Sebelum ini Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi membangkitkan isu permohonan hartanah bernilai RM100 juta di Parlimen.
Najib kemudian menarik balik hasrat memohon hartanah daripada kerajaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang berdepan situasi sukar akibat Covid-19.
Sebagai membalas serangan Dr Mahathir, kemudiaannya Najib membangkitkan isu pajakan tanah di Langkawi setelah diserang dalam isu permohonan tanah kerajaan dianggarkan bernilai RM100 juta.
Najib membangkitkan dakwaan tawaran pajakan tanah seluas 34 ekar di Langkawi semasa anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah sebelum ini.