Mahathir ganti Anwar, bukan saya kata – Dr. Boo


(Utusan) – Bekas Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau menafikan beliau membuat kenyataan terdapat beberapa pemimpin parti sedang berusaha menjadikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya beliau berkata, desas-desus berkenaan sebenarnya mula kedengaran ketika pertemuan secara virtual melibatkan beberapa Ahli Parlimen, bekas menteri dan ahli akar umbi parti berkenaan.

“Pertemuan maya itu diadakan bertujuan untuk meningkatkan komunikasi tetapi sebenarnya ia bertujuan untuk mengajak ahli menyokong Dr. Mahathir dan bukan Anwar.

“Komen ditinggalkan mereka bercanggah dengan resolusi yang dicapai Majlis Presiden PH yang menyatakan Anwar adalah calon Perdana Menteri buat PH dan tindakan sedemikian telah mengganggu parti di peringkat akar umbi,” katanya di sini hari ini.

Cheng Hau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai berkata, ekoran kejadian tersebut, ahli parti peringkat akar umbi kini keliru siapa pemimpin utama mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Beliau mendakwa, dalam satu pertemuan virtual juga dia terpaksa ‘menentang’ seorang bekas menteri yang memuji kepimpinan Dr. Mahathir walaupun semua tahu bekas Perdana Menteri itu yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

“Insiden sedemikian tidak akan menyakinkan mana-mana pihak bahawa PH bersedia untuk mentadbir negara sebaliknya perlu membuktikan semua parti terlibat mesti menyokong keputusan Majlis Presiden PH.

“Anwar dan PKR adalah sebuah parti majoriti Melayu-Islam yang menyantuni kepelbagaian budaya, mereka adalah sekutu kepada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Oleh itu, kita perlu bersatu hati dengan Anwar dan PKR khususnya apabila sudah terdapat perancangan strategik untuk memusnahkan parti berkenaan,” katanya.

Ini merupakan kali kedua Cheng Hau ‘bercakaran’ dengan kepimpinan parti itu apabila sebelum ini dia mendakwa Setiausaha Agung DAP adalah ‘anak buah’ kepada Dr. Mahathir pada 4 Disember lalu.

 



Comments
Loading...