GPS, PN kerjasama pada PRU15, kata Muhyiddin


(FMT) – Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju bekerjasama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Dalam sidang media, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau sudah bercakap dengan Pengerusi GPS Abang Johari Openg, menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

“Kami sudah mencapai persetujuan bagi pilihan raya negeri, kami menyokong GPS tetapi pada PRU15, kami mencapai persetujuan kerana beberapa calon daripada PN dan Bersatu ketika ini menyandang kerusi Parlimen di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, PN memberi laluan kepada GPS pada PRN Sarawak, dengan mengambil contoh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena di Bintulu, yang didakwanya mempunyai keahlian Bersatu seramai 13,000 orang.

“Ini adalah pilihan raya negeri, ia lebih kepada membentuk kerajaan negeri, jadi saya bersetuju. Namun, pada pilihan raya umum ia bertujuan membentuk kerajaan persekutuan.”

Muhyiddin mengakui, sebilangan ahli Bersatu di Sarawak kecewa berhubung keputusan parti itu menarik diri daripada bertanding pada PRN.

Ditanya mengenai calon PAS di Beting Maro, Muhyiddin berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut bagi pihak parti itu selepas mengambil kira keputusan mereka bertanding bersendirian.

Mengulas cadangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), beliau mengakui ada keperluan mengenakan tindakan lebih berat terhadap pelanggaran SOP Covid-19.

Sambil menegaskan beliau tidak mahu mendahului kerajaan, Muhyiddin berkata, Kementerian Kesihatan sepatutnya mempertimbangkan menyemak semula hukuman berat dengan mengambil kira rakyat yang sedang bergelut ketika ini.

 



Comments
Loading...