‘Segerakan pemilihan Umno, beri peluang pada Ismail Sabri sehingga 2023’


(Malaysiakini) – Umno bahagian Ketereh hari ini mengemukakan usul menggesa supaya pemilihan parti itu diadakan segera tahun hadapan sebelum November.

Usul berkenaan dibentang Ketua Penerangan Umno bahagian, Roslan Ab Hamid dan disokongan wakil Pemuda Umno bahagian, Mohd Aura Muhammad.

“Tahun 2022 adalah tahun wajib diadakan pemilihan di semua peringkat parti dan tidak boleh lewat dari November 2022.

“Justeru parti perlu menyegerakan proses tersebut agar setiap lapisan kepimpinan di cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mendapat mandat ahli untuk melangkah menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang tempohnya sehingga 2023.

“Mandat ahli amat penting dalam proses merekayasa parti, meningkatkan integriti, serta memperkasa saf pimpinan bagi menjamin penerimaan rakyat dan memenangkan parti dlm PRU 2023,” kata Roslan ketika membentangkan usul berkenaan.

Usul berkenaan dibentangkan pada Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Ketereh di Kelantan, hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua Umno Ketereh, Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Dalam sidang medianya, Annuar berkata Mesyuarat Umno bahagian Ketereh meluluskan usul menyokong Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakub sehingga 2023 dan menggesa pemilihan parti diadakan tahun depan.

“Tahun 2022 adalah tahun wajib diadakan pemilihan dan lagi cepat kita selesaikan pemilihan adalah lagi baik dan ia tidak boleh dikaitkan dengan pilihan raya.

“Urusan pilihan raya adalah urusan kerajaan dan perkenan seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong. Ia boleh datang sebelum pemilihan, ia boleh datang selepas pemilihan.

“Dari sudut parti pemilihan parti tak boleh lebih daripada 22 Nov,” kata Annuar.

Katanya, tiada alasan untuk Umno menangguhkan lagi pemilihan parti kerana situasi Covid-19 telah mengizinkan pemilihan diadakan.

 



Comments
Loading...