Itu bukan suara saya – Rosmah
(Utusan) – Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menafikan bahawa suara wanita dalam rakaman audio ‘can I advise you something‘ adalah suaranya.
Beliau turut menyifatkan isi kandungan rakaman tersebut sebagai `sampah’.
Selain itu, wanita terbabit ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram turut menafikan bahawa suara lelaki di dalam rakaman tersebut adalak milik suaminya, yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sri Ram: Boleh awak sahkan yang suara dalam rakaman tersebut adalah suara awak?
Rosmah:Tidak. Saya tak boleh sahkan. Tiada sebarang bukti saintifik dilakukan ke atas rakaman tersebut.
Sri Ram: Terdapat beberapa saksi yang menyatakan itu adalah suara awak dan suami awak.
Rosmah: Dan kita perlu percaya ke?
Sri Ram: Awak tak perlu soal saya, saya yang soal awak dan awak perlu jawab. Kalau awak hendak terus bertengkar, saya akan mohon mahkamah buat perintah terhadap awak!
Rosmah: Saya bukan nak bertengkar tapi awak janganlah jerit-jerit pada saya. Saya tak biasa orang jerit-jerit pada saya.
Pada prosiding sebelum ini, dua saksi pendakwaan, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor menyatakan bahawa suara dalam rakaman audio `can I advise you something‘ adalah milik Rosmah dan Najib.
Selepas keadaan kembali tenang, Sri Ram sekali lagi bertanyakan mengenai identiti suara wanita dalam rakaman tersebut yang mana Rosmah sekali lagi menafikan suara dalam rakaman tersebut adalah miliknya.
Sri Ram: Saya katakan bahawa suara tersebut adalah suara awak.
Rosmah: Tidak, saya tak setuju.
Sri Ram: Saya katakan bahawa perbualan awak (dalam rakaman audio) menunjukkan awak sedang memberikan cadangan untuk melantik seseorang sebagai penjawat awam.
Rosmah: Saya tak setuju.
Sri Ram: Saya katakan awak sebenarnya sedang menjarakkan diri awak dengan rakaman tersebut kerana ia jelas menunjukkan awak meminta suami awak untuk melantik seseorang.
Rosmah: Saya tak setuju.
Sri Ram: Saya katakan kandungan (rakaman audio) adalah betul.
Rosmah: Tidak, semuanya ‘sampah’!
Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menyatakan tiada keperluan pada ketika ini untuk menyatakan Rosmah telah berbohong ketika memberi keterangan di mahkamah.
Pada peringkat awal perbicaraan, pihak pendakwaan memulakan prosiding mencabar kredibiliti Rosmah dengan mengemukakan percanggahan yang dibuat oleh wanita terbabit sewaktu memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sewaktu siasatan dijalankan dengan keterangannya di mahkamah.
“Secara lahiriah, memang terdapat percanggahan antara kedua-dua keterangan. Tetapi saya juga dapati, saksi (Rosmah) telah cuba memberikan penjelasan mengenai percanggahan tersebut. Sekiranya tidak penjelasan, kredibilitinya boleh dicabar.
“Jadi, tiada keperluan pada ketika ini untuk mencabar kredibiliti saksi. Pihak pendakwaan bagaimanapun boleh bertanya soalan kepada saksi berhubung penjelasannya,”kata hakim itu.
Rosmah kini sedang dibicarakan atas satu tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Perbicaraan bersambung esok.