Ahli panel SPRM letak jawatan, dakwa tiada tindakan isu libatkan Azam Baki
(Malaysiakini) – Ahli ekonomi Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Gomez mendakwa ia selepas panel tersebut gagal bertindak terhadap dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki di sebuah syarikat senarai awam.
Katanya, dia pertama kali membangkitkan perkara itu kepada pengerusi panel, Borhan Dolah pada 12 November lalu, dan menggesanya agar mengadakan mesyuarat untuk membincangkan “isu kritikal berkaitan kepentingan negara”.
Walaupun Borhan memberi respons segera dan setuju untuk mengadakan mesyuarat, katanya, ia akhirnya tidak terlaksana.
Dia berkata telah menulis dua lagi surat kepada Borhan berhubung perkara itu dan melampirkan maklumat lanjut yang diterimanya berhubung perniagaan melibatkan keluarga Azam.
Dia juga antara lain menyebut tentang sebuah laman web yang menjadi pihak pertama menyiarkan dakwaan berkaitan Azam telah digodam selepas ia diterbitkan.
Namun menurut Gomez, dia tidak menerima apa-apa maklum balas.
Tiada pilihan lain
Surat terakhirnya kepada Borhan bertarikh 14 Disember, yang antara lain menyatakan dia tiada pilihan selain meletakkan jawatan jika dia tidak mendapat maklum balas berhubung perkara itu.
“Sudah dua minggu sejak saya menghantar surat ini kepada anda.
“Saya tiada pilihan selain meletakkan jawatan dan ini patut dilihat sebagai bantahan terhadap tindakan anda, selaku pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, yang menangguhkan untuk memanggil mesyuarat berhubung isu yang menjadi tanggungjawab panel ini untuk membincangkannya.
“Tambahan pula, dengan tidak bertindak terhadap laporan melibatkan ketua pesuruhjaya SPRM…merupakan pengabaian tugas terhadap negara yang serius,” katanya dalam surat peletakan jawatannya bertarikh 27 Disember, yang dilihat Malaysiakini.
Profesor ekonomi politik di Universiti Malaya (UM) itu menyifatkan tiadanya perbincangan berkenaannya sebagai “sangat tidak bertanggungjawab” dan “tidak berhati perut”.
Pada 14 Disember lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membahaskan dakwaan pemilikan saham melebihi jumlah dibenarkan oleh Azam.
Sivarasa mendakwa Azam, antara 2015 dan 2016 sebagai pengarah siasatan SPRM, memiliki 930,000 saham dalam sebuah syarikat pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.
Dia juga mendakwa Azam, pada 21 Mac 2016, memiliki 2,156,000 waran dalam sebuah syarikat senarai awam, Excel Force MSC Bhd, manakala adik lelakinya memiliki 3,728,000 unit saham dlam Gets Global.
Dia memetik Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan 3/2002 yang menyebut seseorang pegawai awam boleh membeli saham tetapi tertakluk kepada syarat-syarat, antaranya tidak melebihi lima peratus daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa.
Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan Tatatertib ) 1993 juga mewajibkan kakitangan awam untuk mengisytiharkan harta kepada ketua mereka, katanya lagi.
Konflik kepentingan
Dalam surat peletakan jawatannya, Gomez berkata “cukup membimbangkan” apabila ada laporan mendakwa seorang bekas ketua pesuruhjaya SPRM turut terlibat dalam situasi yang memiliki konflik kepentingan.
Dia berkata ia menunjukkan trend dalam institusi SPRM yang perlu disiasat segera.
Kata Gomez lagi, dia turut menulis surat kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Abu Zahar Nika Ujang sebanyak tiga kali, dengan memberikan maklumat sama yang diberikannya kepada Borhan.
Abu Zahar tidak memberi maklum balas terhadap surat itu, dakwanya.
“Saya juga sangat kecewa lembaga penasihat masih tidak bermesyuarat untuk membincangkan perkara ini, walaupun setelah ia dibangkitkan di Parlimen pada 14 Disember dan dilaporkan secara meluas oleh media,” katanya.
Dia juga berkata Azam belum memberi ulasan secara terbuka berhubung dakwaan terhadapnya.
“Ketua pesuruhjaya yang terus membisu, walaupun dakwaan berat dibuat terhadpanya, menunjukkan mengapa lembaga penasihat dan juga Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah perlu membincangkannya,” katanya lagi.
Katanya lagi, dia “sangat kesal” kerana tidak dapat meyakinkan Borhan dan Abu Zahar untuk bertindak.
Dia juga berharap dapat memberi sumbangan terhadap usaha bersama untuk meneliti dakwaan itu dan menentukan bagaimana kewibawaan dan integriti SPRM dapat dilindungi.