Pemuda Amanah anjur demonstrasi ‘Tangkap Azam Baki’


(Utusan) – Pemuda Amanah yang turut serta dalam perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ di hadapan pusat beli-belah Sogo, Sabtu ini menegaskan bahawa ia adalah sebuah perhimpunan aman.

Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah, Abbas Azmi berkata, perhimpunan itu perlu diadakan kerana isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah menghakis kepercayaan rakyat ketika ini.

“Kami orang muda sangat gusar dengan apa yang berlaku terutama apabila melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jadi, kami Pemuda Amanah, insya-Allah akan gerakkan semua pemuda dari seluruh Malaysia, dengan dijangka sekurang-kurangnya 1,000 dari Amanah.

“Ini bukan soal kepartian, ini soal negara. Kita sayangi negara kita dan akan mewarisi negara ini, kita tidak mahu negara ini rosak, bobrok, rasuah.

“Jadi, mari turun beramai-ramai…jangan risau, kita ada hak kita untuk turun berhimpun. Namun, kita tidak mahu insiden ganas, provokasi, kami tegaskan bahawa ini adalah perhimpunan aman, kita menyuarakan suara rakyat, suara orang muda,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelasnya, perhimpunan itu akan turut disertai pemuda sayap Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti pembangkang lain.

“Kita difahamkan akan ada Pejuang, Muda, Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga akan ada…ini gerakan anak muda yang agak besar, jadi ayuh turun. Kita sayangkan negara dan tidak mahu perkara ini berlarutan,” katanya.

Beliau turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap Azam.

“Saya berharap Perdana Menteri melihat isu ini secara neutral dan meraikan pandangan kerana tindakan ini (demonstrasi) bukan fitnah, ini pengakuan Azam sendiri.

“Namun, kalau dapat rehatkan Azam, kita mahu siasatan adil…kita tidak mahu hukum Azam secara semberono. Beri keadilan kepadanya seperti mana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. Beliau diadili di mahkamah dan didapati bersalah.

“Jadi, kita mahu Azam diadili dan tidak terlepas dari undang-undang walaupun individu itu adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam Muda Amanah menyediakan khidmat guaman bagi memastikan tiada sebarang tindakan yang melanggar undang-undang sepanjang berlangsungnya demonstrasi yang dijadualkan di Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman nanti.

Ini termasuk menawarkan khidmat guaman secara pro-bono kepada semua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut serta individu yang menyebarkan poster #TangkapAzamBaki secara fizikal dan di media sosial.

 



Comments
Loading...