Tak seperti Kelantan, Umno tetap kerjasama dengan PAS di Selangor, kata Noh
(FMT) – Pendirian Umno Selangor berlawanan dengan Kelantan apabila mahu meneruskan kerjasama dengan PAS seperti diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu.
Ketua Umno Selangor, Noh Omar, berkata Umno dalam Barisan Nasional (BN) dan PAS adalah pembangkang di negeri itu, dan tidak ada masalah untuk meneruskan kerjasama antara kedua-dua parti.
“Kami di Selangor ini berbeza sedikit berbanding negeri lain sebab di Selangor Umno pembangkang, PAS juga pembangkang.
“Kalau kita lihat sejarah, Muafakat Nasional ini ditubuhkan waktu Umno jadi pembangkang di Parlimen…PAS juga jadi pembangkang di Parlimen ketika itu.
“Bila kita bersama jadi pembangkang suara kita sama, maka tertubuhlah MN. Jadi, konsep dan semangat itu juga sama di Selangor,” katanya menurut laporan MalaysiaGazatte.
Mengulas lanjut, Noh berkata, Umno Selangor akan tetap bersama dengan keputusan dibuat oleh presiden parti kerana ia akhirnya akan membawa kepada keutuhan dan kekuatan Umno sendiri.
Sementara itu, ditanya mengenai pandangannya berhubung pengumuman dibuat oleh Ketua Pejuang, Shahruddin Md Salleh yang mahu bertanding secara solo di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan, Noh berkata, ia tidak menjadi ancaman kepada BN.
Katanya, perkara itu telah dibuktikan sebagai mana yang berlaku pada PRN Melaka.
“Saya ingat dalam pilihan raya ini, Barisan Nasional telahpun membuktikan bahawa walaupun solo di Melaka telah dapat kejayaan yang luar biasa.
“Jadi, saya tidak mahu komen lebih kerana ini kuasa pimpinan. Bagi saya sebagai Ketua Umno Selangor kita akan akur dengan apa juga keputusan (bertanding) yang dibuat oleh pucuk pimpinan,” katanya.