Malu itu sebahagian daripada Islam, adakah Najib ada sifat itu?


Rasanya semua sudah tahu itu adalah slogan dilaungkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan penyokong-penyokongnya, terus kekal dan makin hebat dilaungkan walaupun bekas Perdana Menteri itu sudah disabitkan kesalahan salah guna kuasa dan rasuah.

Johan Salehuddin

Sejak kecil lagi, rata-rata orang Melayu pasti meningatkan anak-anak bahawa ‘malu itu adalah sebahagian daripada Islam’.

Malu mempunyai pengertian yang besar dalam Islam, sifat malu adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang telah hilang sifat malu adalah orang yang tipis imannya kerana malu dan iman berjalan beriringan dan jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.

Sebab itu, apabila ada pemimpin politik dilihat seperti memperlekehkan sifat malu, mempromosi slogan ‘Malu Apa Bosku’ yang dilihat seolah-olah tidak perlu malu pun dengan apa-apa yang dilakukan, termasuk juga perlakuan-perlakuan negatif.

Rasanya semua sudah tahu itu adalah slogan dilaungkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan penyokong-penyokongnya, terus kekal dan makin hebat dilaungkan walaupun bekas Perdana Menteri itu sudah disabitkan kesalahan salah guna kuasa dan rasuah.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi, membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan, tetapi ia ditolak dan kini menunggu nasibnya diputuskan di Mahkamah Persekutuan. Keseluruhannya, empat hakim yang bijaksana, seorang di Mahkamah Tinggi dan tiga di Mahkamah Rayuan, mendapati Najib bersalah.

Bukan itu sahaja, bekas Presiden Umno dan kini Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu masih dibicarakan untuk pelbagai lagi kes jenayah yang sebelum ini mencalarkan reputasi negara kita.

Justeru, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meminta Najib supaya ada sedikit rasa malu, saya melihat ia bukannya satu kesalahan.  Sebaliknya ia permintaan yang wajar kerana  Ahli Parlimen Pekan itu semakin hari semakin dilihat seperti tidak langsung mempunyai sifat malu yang mempunyai pengertian sangat besar dalam Islam.

Kenyataan Muhyiddin dibalas Najib, menuduh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu itu sebagai ‘hipokrit’, tetapi hakikatnya adalah ia seperti menepuk air di dulang. Memang ada ketikanya wujud tuduhan liar dan fitnah terhadap Muhyiddin, tetapi semua itu perkara biasa dalam polis, bila masanya beliau pernah didakwa di mahkamah?

Jadi, saya melihat tidak ada salah pun apabila Muhyiddin melahirkan rasa lega kerana tidak perlu lagi bekerjasama dengan parti yang masih menjulang seseorang yang disabitkan dengankesalahan jenayah, jelas merujuk kepada Najib yang kemudian mengungkit bahawa Muhyiddin tidak mampu menjadi Perdana Menteri pada Mac 2020 tanpa sokongan Umno.

Rasanya rakyat masih ingat kenyataan tegas Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri Kelapan, bahawa beliau tidak akan melayan sebarang permintaan untuk campur tangan dalam sistem kehakiman negara.

Malah, ada pendedahan bahawa Najib ketika itu mahu Muhyiddin menyingkirkan Pendakwa Raya Kanan, Tan Sri Gopal Sri Ram daripada pasukan pendakwaan terhadap kes dihadapi Ahli Parlimen Pekan itu, namun Muhyiddin enggan melayan dan akibatnya, beliau kehilangan jawatan Perdana Menteri pada Ogos lalu berikutan penarikan sokongan oleh pemimpin-pemimpin Umno dikaitkan dengan ‘kluster mahkamah’ yang diketuai Najib.

Kini, Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri, namun beliau dilihat kekal mempertahankan prinsipnya dengan menjauhkan diri daripada pemimpin-pemimpin politik seperti Najib, yang masih berpengaruh dalam Umno. Dalam erti kata lain, Muhyiddin kekal tidak mahu bekerjasama dengan penjenayah kerana ia adalah perbuatan yang memalukan.

Untuk Najib, beliau tidak layak mempersoalkan mengapa Muhyiddin tidak malu menerima sokongan Umno yang mengangkatnya sebagai Perdana Menteri. Beliau tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap perihal ‘malu’ sedangkan Mahkamah Rayuan sudah merujuk tindakannya berkaitan kes penyelewengan dana SRC International sebagai ‘memalukan negara’.

Jika Najib ada sifat malu, beliau pastinya tidak akan menyeleweng dana negara dan menjadikan Malaysia sebagai bahan ketawa. Jika Najib ada sifat itu, beliau pastinya tidak akan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk kekal memegang kuasa, sekali gus mengelak daripada disingkirkan pada masa yang sepatutnya.

 



Comments
Loading...