SPRM dalam usaha kembalikan USD10 juta daripada bekas CEO Astro


(FMT) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini berusaha mengembalikan wang tunai dan aset berjumlah USD10 juta yang dikaitkan dengan 1MDB dalam siasatan berterusan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Rohana Rozhan.

Dalam sidang media, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata suruhanjaya itu juga sedang berusaha mengambil keterangan daripada individu lain di Amerika Syarikat berhubung siasatan itu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa aset Rohana dibekukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia susulan SPRM memulakan siasatan terhadap dakwaan bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner, yang mendedahkan hubungannya dengan Rohana terjalin sejak 2003 hingga 2013.

Leissner telah memberi keterangan di Mahkamah AS bahawa dia membeli sebuah rumah bernilai USD10 juta di London pada 2013 untuk Rohana, selepas kekasih sulitnya itu mengugut akan mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Azam berkata mereka masih belum dapat menamakan individu yang akan dikehendaki untuk memberikan keterangan berhubung kes itu.

“Kerjasama pihak AGC (Jabatan Peguam Negara) diperlukan utk ambil keterangan dari pihak berkuasa AS. Leissner masih beri keterangan di AS. Jadi, saya rasa kurang enak untuk ulas pasal keterangan dia. Kita akan dapatkan keterangan lanjut dari pihak berkuasa di AS.”

Sementara itu, Azam tidak menolak kemungkinan SPRM akan memanggil Rohana untuk memberi keterangan lain mengenai perkara itu sekiranya perlu.

Dalam perkembangan berasingan, Azam berkata SPRM sudah selesai menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan salah urus di Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp).

Katanya, kertas siasatan sudah diserahkan kepada AGC dan keputusan mengenai kes itu mungkin akan dibuat minggu depan.

Siasatan SPRM dibuat susulan pendedahan akaun Twitter “pemberi maklumat” Edisi Siasat mengenai senarai bayaran “undur tarikh” yang didakwa diterima oleh pegawai kanan badan itu tanpa pengetahuan pengurusan tertinggi.

 



Comments
Loading...