Maszlee minta maaf akui PH gagal tunai janji manifesto PRU14


Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Maszlee Malik malam ini memohon maaf kepada para pengundi kerana gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

(Malaysia Gazette) – Beliau yang pernah menjawat jawatan Menteri Pendidikan juga mengakui kesilapan lalu dan mahu pengundi memaafkan dirinya serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memberi alasan masa yang begitu terhad sehingga menyebabkan ada janji-janji tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan PH ketika itu.

“Kami juga manusia biasa, kita mohon maaf kepada tuan-tuan dan puan-puan. Maafkan saya dan kami,” katanya sambil menundukkan kepalanya di hadapan para hadirin yang mengikuti ceramahnya malam ini.

Menurut Maszlee, sepanjang pentadbiran PH selama hampir 22 bulan terdapat salah dan silap yang dilakukan ketika itu, namun seandainya diberikan mandat selepas ini janji-janji itu akan dilaksanakan.

“Kami belajar dari kesalahan ini. Maafkan kami, kesilapan seperti ini tidak akan berulang.

“Masa untuk kami juga terhad sehinggalah kami dijatuhkan tanpa maruah,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir ceramah umum itu memuji permohonan maaf ikhlas oleh Maszlee itu.

“Inilah pemimpin yang perlu kita contohi dan undi. Selama berpuluh tahun BN memerintah pernahkah mereka mohon maaf?

“Kita akui ada perkara yang kita tidak dapat laksanakan ketika PH memerintah pada masa itu,” ujarnya.

 



Comments
Loading...