Kalau nak bubar parlimen, Zahid kena bincang dengan Muhyiddin dan Hadi – Nazri
(Astro Awani) – Sekiranya mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berbincang dengan presiden parti-parti yang membentuk kerajaan yang ada hari ini, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Hujah Nazri, perbincangan dengan presiden parti-parti dalam kerajaan perlu Zahid lakukan kerana UMNO bukan parti dominan dalam kerajaan seperti sebelum ini.
“Sebelum ini UMNO adalah parti dominan jadi Presiden UMNO yang juga perdana menteri boleh buat keputusan untuk bubar Parlimen tanpa bincang dengan parti lain.
“Sekarang sudah berbeza, UMNO bukan parti dominan dan kerajaan yang ada hari ini dibentuk hasil kerjasama dan persefahaman dengan parti-parti lain yang di luar Barisan Nasional.
“Jadi kalau Zahid nak sangat Parlimen dibubarkan, beliau perlu pergi bincang dengan Muhyiddin, Hadi dan yang lain-lain.
“Selesaikan di peringkat parti-parti yang membentuk kerajaan, dapatkan persetujuan barulah mintak perdana menteri bubar,” katanya kepada Astro AWANI.
Mohamed Nazri berkata, berdasarkan pengalamannya berada dalam Kabinet sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad hingga Datuk Seri Najib Tun Razak, perdana menteri tidak pernah memaklumkan bila Parlimen akan dibubarkan.
“Masa saya dalam Kabinet sebelum ini, tidak pernah perdana menteri, baik Dr Mahathir atau Najib, maklumkan kepada menteri atau ahli Parlimen mahu bubarkan Parlimen.
“Perdana Menteri akan pergi menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk dapat perkenan dan selepas itu barulah maklumkan kepada Kabinet bahawa Parlimen akan dibubarkan.
“Masa itu perdana menteri adalah presiden UMNO dan UMNO parti dominan jadi tidak perlu nak bincang dengan parti lain,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, biarpun sokongan kuat diperolehi UMNO buat masa ini, parti itu perlu memastikan masalah rakyat diselesaikan terlebih dahulu.
Katanya, adalah tidak elok sekiranya UMNO mahu diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat COVID-19.
“UMNO jangan jadi parti opportunist bila sokongan tengah kuat mahu Parlimen dibubarkan segera.
“Selesaikan dahulu masalah rakyat. Utamakan kepentingan rakyat bukan kepentingan peribadi.
“Jangan dengan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, Akta Lompat Parti akan dibentang di Dewan Rakyat yang mana akan dinyatakan Parlimen perlu dibubarkan selepas genap lima tahun.
Katanya, kerana akta itu dibuat ketika kerajaan diterajui UMNO maka parti itu perlu menunjukkan contoh terlebih dahulu.
“Kita (UMNO) kena lah tunjuk contoh terlebih dahulu dengan memastikan genap lima tahun penggal kali ini.
“Jadi, bubarlah tahun depan untuk cukup lima tahun, bukan lama lagi pun,” katanya.
Ketika berucap merasmikan Persidangan Agung UMNO 2021, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sentiasa menjunjung Perlembagaan Negara dalam konteks pembubaran Parlimen dan tidak mahu menganggu urusan berkenaan.
Namun kata Zahid, apabila mood rakyat sedang condong ke arah UMNO, PRU15 perlu diadakan segera.