Kempen ‘Ayuh Malaysia’ tarik sokongan pengundi atas pagar
(Sinar Harian) – Pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli melancarkan kempen bertemakan ‘Ayuh Malaysia’ bagi menarik sokongan pengundi atas pagar sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, kempen tersebut dianjurkan berdasarkan pandangan dan luahan yang dikongsi oleh rakyat menerusi siri kempen beliau ketika Pilihan Raya Negeri Johor yang berakhir dengan keputusan yang wajar diteladani.
Menurut beliau, ia bermatlamat mengajak sukarelawan dalam kalangan rakyat yang mahukan perubahan dengan memainkan peranan di dalam kempen digital, menjadi Ejen Kira Undi (PACA) dan sukarelawan pilihan raya.
“Kempen ini juga memberi nafas baru kepada kempen PKR dan PH (Pakatan Harapan) dengan penekanan khusus kepada pengundi atas pagar di kerusi-kerusi ‘marginal’ yang berhadapan tentangan sengit.
“Ia juga bagi mempengaruhi diskusi dan kempen politik agar lebih berfokus ke arah mencari penyelesaian kepada masalah-masalah utama masyarakat melalui percambahan idea dasar dan pelan pelaksanaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, matlamat kempen itu dianjurkan bagi menampilkan tokoh yang lebih muda dari kalangan pimpinan PKR untuk menjuarai platform dasar yang berfokus kepada penyelesaian masalah.
“Platform Ayuh Malaysia ini bukan inisiatif khusus PKR, namun ia digerakkan oleh pimpinan muda PKR dengan harapan dapat menarik minat penyertaan pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya.
Selain Nurul Izzah, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli juga turut serta dalam pelancaran kempen itu yang diadakan pada Sabtu di Vida Bukit Ceylon, Kuala Lumpur jam 8 malam.
“Majlis pelancaran Ayuh Malaysia juga akan memperkenalkan aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.
“Orang ramai yang tidak berpeluang hadir dijemput mengikuti majlis pelancaran secara langsung di laman Facebook saya bermula jam 8 malam ini,” katanya.
Tambah beliau, lima dasar teras akan dibentangkan dan wajar diberi perhatian oleh masyarakat untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi orang ramai.
Jelasnya, ia termasuk masalah peluang pekerjaan, kos sara hidup, perlindungan sosial khususnya buat wanita dan kanak-kanak serta masalah perumahan dan lain-lain.
“Kami berharap idea-idea yang bakal kami bentangkan melalui Ayuh Malaysia dapat menghidupkan kembali semangat orang ramai untuk terus berusaha membawa Malaysia ke satu peringkat yang lebih baik,” katanya.