DAP, Warisan, Amanah tolak Muhyiddin
(Suara TV) – Parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) menolak bekerjasama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran ‘dendam’ yang masih ada selepas tumbangnya kerajaan PH hanya selepas 22 bulan menjadi kerajaan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak boleh menerima tindakan tikam belakang dan mengkhianati gabungan kerjasama ketika itu, sekali gus menjejaskan kepercayaan terhadap Muhyiddin, malah tiada peluang kedua untuknya.
“Pasti tidak akan kerjasama, mana boleh percaya dengan dia lagi? Kita tidak yakin kerana dia janji ‘tidak serupa bikin,” katanya ketika dihubungi semalam.’
Selain itu, Guan Eng turut menafikan akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dalam tempoh terdekat.
Kelmarin, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, Muhyiddin meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Dr. Mahathir menegaskan beliau tidak bersetuju dengan permintaan itu kerana Muhyiddin menjadi punca beliau tidak menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula mendedahkan, Muhyiddin menghubunginya, dipercayai bagi membentuk kerjasama baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, beliau sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas apa yang berlaku sebelum ini.
Dalam pada itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan dengan Muhyiddin.
“Tak ada, saya tidak pernah jumpa. Dan dalam PH, kita belum bincang. Saya sendiri tidak mahu buat keputusan sebab ia mesti melalui gabungan parti, dan bukannya individu,” jelas Mohamad Sabu.