Konsesi empat tol diambil alih ALR tamat Mei 2032
Tempoh baharu konsesi empat lebuh raya yang ditawarkan untuk diambil alih Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) dijangka tamat serentak pada Mei 2032.
(Berita Harian) – Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Mohammed Rashdan Yusof, berkata ini membolehkan pendapatan yang dijana daripada keempat-empat konsesi berkenaan berada di bawah satu akaun, sekali gus menjadikannya lebih mudah diuruskan dari segi pembayaran semula hutang.
“Ini bermakna, dana lebihan tunai daripada keempat-empat konsesi akan digabungkan dan penyelenggaraan pembayaran hutang akan menjadi satu, tanpa perlu mengasingkan pendapatan mengikut setiap syarikat pengurusan lebuh raya.
“Jika ada antara salah satu daripada empat konsesi itu mengalami kerugian, ia masih boleh ditampung oleh keuntungan tiga lagi konsesi lebuh raya yang lain.
“Namun, dalam konteks perniagaan lebuh raya kami di Lembah Klang, kemungkinan untuk mengalami kerugian adalah sangat rendah dan tidak mungkin berlaku,” katanya kepada BH dalam satu temubual, semalam.
Gamuda memiliki kepentingan dalam keempat-empat lebuh raya berkenaan, iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).
Bagaimanapun, Mohammed Rashdan berkata, tarikh jangkaan tamat konsesi itu boleh berakhir lebih awal seandainya aliran trafik lebuh raya tinggi dan ALR pula mampu membayar semula hutang dengan pantas.
Beliau berkata, penamatan tempoh konsesi awal akan memberikan penjimatan kepada kerajaan dan rakyat.
“Kerajaan boleh membuat keputusan yang terbaik selepas tempoh konsesi tamat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pengambilalihan oleh ALR itu turut memberi jaminan bahawa tiada lagi kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuh raya terbabit.
Katanya, ia satu tawaran yang menarik berbanding dengan peruntukan perjanjian konsesi asal yang memperuntukkan kenaikan tol bagi lebuh raya secara berkala antara lima hingga tujuh tahun, mengikut perjanjian konsesi masing-masing.
“Di bawah ALR, ia menjimatkan pengguna lebuh raya bertol. Sebagai contoh, pengguna KESAS hanya membayar RM2 dan bukannya RM3 (jika ikut perjanjian konsesi semasa), memberikan penjimatan RM1 atau sekitar 50 peratus.
“Begitu juga SPRINT Pantai, pengguna hanya perlu membayar RM2.50 dan bukannya RM4.50, penjimatan sebanyak RM2 atau 80 peratus.
“Dengan cara ini, ia memberi penjimatan secara langsung kepada rakyat sebanyak RM4.3 bilion,” katanya.