The NEW Malay Dilemma: orang Melayu Islam di mulut dan bukan di hati


(Malaysia Post) – Ketika rakyat Malaysia sedang menikmati juadah berbuka berpuasa, remaja Sindrom Down, Bella dipaksa makan seperiuk nasi bercampur cuka, cili, kunyit, kepingan cili, kicap manis, kicap masin dan garam.

Tidak cukup dengan itu, Bella juga pernah dipaksa makan lima ketul paha ayam yang sudah busuk, lapor Utusan Malaysia.

“Masa bulan puasa, Bella tak nak makan nasi sebab dia dah kenyang curi-curi makan makanan kering yang ada di bilik laundry dan minum tanpa pengetahuan sesiapa. Bila Siti Bainun balik rumah pada waktu malam, dia dapat tahu Bella tak nak makan nasi sebab Bella dah curi-curi makan.

“Dia (Siti Bainun) suruh Bella makan nasi seperiuk yang dicurah cuka, cili, chilli flakes (kepingan cili), ada kicap masin, manis dan ada benda-benda lain juga.

“Bella juga pernah goreng sendiri ayam mentah yang dah rosak (busuk), bila Siti Bainun tahu dia suruh saya goreng ayam itu, dalam lima ketul dalam ‘air fryer‘ dan suruh Bella habiskan juga,” kata Yasmin Nahar Mahmood, 19.

Kejadian makan ayam goreng busuk itu juga berlaku pada bulan Ramadan namun tidak dinyatakan secara spesifik tarikh kejadian tersebut.

Saksi berkenaan turut memberitahu pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali itu pernah menyepak dan menendang perut remaja berusia 13 tahun itu kerana tidak mendengar cakapnya.

“Bila Bella tak dengar cakap dan tidak habiskan cili, Siti Bainun akan ugut hendak simbah air panas pada Bella. Siti Bainun akan arahkan saya dan Aida untuk pegang Bella dan paksanya melutut. Masa itu Siti Bainun sepak dan tendang perut Bella,” kata Yasmin.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata demikian ketika disoal peguam bela Asiah Abdul Jalil dalam kes perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun yang didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan dan menganiaya remaja Sindrom Down berusia 13 tahun itu menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Terdahulu ketika disoal oleh peguambela, Farhan Maaruf, Yasmin memberitahu Bella akan dipaksa makan 20 biji cili padi beberapa kali seminggu jika tidak dengar cakap Siti Bainun.

Farhan: Berapa kali berlaku?

Yasmin: Banyak kali berlaku.

Farhan: Boleh kata empat kali seminggu?

Yasmin: Ok.

Farhan: Jadi kalau seminggu dan 80 biji cili Bella makan. Takkan mulut Bella tak melelas, melecet atau merah?

Yasmin: Mulut dia merah.

Farhan: Semalam kata Bella didera setiap hari selama empat bulan, jadi kalau kita kira lebih kurang 1,280 biji cili dan disumbat kepada Bella (dalam tempoh empat bulan) takkan mulut Bella tak melelas atau melecet.

Yasmin: Dia (Bella) makan lepas tu buang (luahkan) balik.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

 



Comments
Loading...