Malaysia Today mendedahkan Tok Mat menerima suapan rasuah


Malaysia Today mendedahkan Mohamad dituduh menerima suapan rasuah berkaitan projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar tahun 2008 hingga 2010.

(Malaysiakini) – Pemimpin Umno tidak menolak dakwaan wujud gerakan oleh pihak tertentu yang cuba memburukkan imej Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menjelang pilihan raya umum dan pemilihan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, berkata gerakan itu bertujuan untuk merosakkan imej pemimpin Umno dengan membangkitkan isu lapuk yang tidak berasas.

“Ada gerakan yang digerakkan oleh pihak tertentu cuba memburukkan Tok Mat (Mohamad) dengan menggunakan penulis blog bagi menjayakan agendanya.

“Mereka menimbulkan isu lama bagi menyerang timbalan presiden Umno dengan tujuan merosakkan imejnya.

“Dan ada pihak tertentu yang membiayai penulis blog berkenaan,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Sebelum ini pengendali portal Raja Petra Kamarudin membangkitkan isu yang mengaitkan Mohamad dengan penyelewengan.

Susulan itu, Ketua Penerangan Umno Cawangan Setapak Jaya 1A, Bahagian Setiawangsa Kuala Lumpur, Halim Rahmat menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan dikeluarkan sebuah portal berita yang mengaitkan tuduhan rasuah membabitkan seorang pemimpin tertinggi Umno.

Halim berkata, dia mahu SPRM menyiasat secara telus mengenai kesahihan dakwaan itu.

Katanya, portal berita itu mendedahkan Mohamad dituduh menerima suapan rasuah berkaitan projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar tahun 2008 hingga 2010.

“Kami hadir ke Ibu Pejabat SPRM hari ini bagi meminta agensi itu menyiasat kesahihan tuduhan berkenaan. Kami sudah muak dengan kisah-kisah penyelewengan dan rasuah membabitkan pemimpin utama parti, justeru siasatan perlu dilakukan segera,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut Razlan berkata apa yang dibangkitkan pengendali portal berkenaan adalah isu lama yang tidak berasas.

“Ini adalah isu lama yang mana sudah dua peguam negara mengklasifikasikannya ia sebagai NFA dan sengaja dimainkan kembali oleh pihak tertentu.

“Ia bukannya penemuan bukti baru, sebaliknya sekadar ‘recycle’ cerita lama yang terbukti tidak wujud penyelewengan,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...