Mahkamah sivil tak boleh semak keputusan mahkamah syariah, kata kerajaan


(FMT) – Kerajaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa keputusan yang dibuat oleh mahkamah syariah adalah muktamad dan mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa untuk menyemaknya.

Peguam Persekutuan Sallehuddin Md Ali berkata, Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara di bawah mahkamah Islam.

“Peruntukan itu adalah untuk menghentikan pihak yang terkilan datang ke mahkamah sivil untuk menyemak keputusan mahkamah syariah,” katanya, ketika membantah usaha seorang wanita berusia 32 tahun untuk memulakan cabaran undang-undang untuk keluar Islam.

Wanita yang dilahirkan sebagai penganut agama Islam itu mendakwa dia tidak pernah mengamalkan agama terbabit dan ibunya memberikan kebebasan sepenuhnya untuk memilih agama.

Katanya, dia sebelum itu ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendapatkan perintah keluar daripada agama Islam kerana ingin mengamalkan agama Buddha.

Tidak lama selepas dia memfailkan permohonan itu, mahkamah memerintahkan dia menjalani 12 sesi “kaunseling”.

Selepas itu, mahkamah menolak permohonannya untuk keluar Islam dan memintanya menghadiri lebih banyak sesi kaunseling. Apabila merayu, Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan keputusan itu.

Wanita terbabit kemudiannya pergi ke mahkamah sivil dalam usaha untuk membatalkan keputusan mahkamah syariah. Dia mendakwa keputusan untuk menolak permohonan “penukaran untuk keluar” melanggar Perkara 11, yang menjamin kebebasan beragama seseorang.

Hari ini, hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid bertanyakan kepada Salehuddin, bagaimana jika keputusan mahkamah syariah adalah “salah”.

Salehuddin menjawab : “Sama ada keputusan itu betul atau salah, ia tamat di situ. Jika tidak, semua orang (yang tidak berpuas hati) akan datang ke mahkamah sivil.”

Beliau berkata, mahkamah syariah bukan “tribunal, di mana pihak yang kalah boleh datang ke mahkamah sivil untuk mencabar sesuatu keputusan”.

“Tribunal tidak diberi perlindungan seperti Perkara 121(1A).”

 



Comments
Loading...