Sultan dan Agong boleh diserang, tetapi tak boleh serang hakim, kata ketua hakim proxy Mahathir


(Astro Awani) – Selepas serangan bertubi-tubi terhadap badan kehakiman sejak kebelakangan ini, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat akhirnya bersuara.

Jelas beliau, serangan yang dibuat terhadap hakim dan institusi tersebut disifatkan melampaui batas.

Memetik laporan News Straits Times, Tengku Maimun berkata walaupun rakyat termasuk ahli politik, pada tahap tertentu, bebas untuk mengkritik, ia tidak bermakna mereka boleh melancarkan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu, bagi kepentingan mereka sendiri.

Menyedari terdapat banyak kes berprofil tinggi yang melibatkan kepentingan awam sedang dibicarakan di mahkamah, Tengku Maimun menambah, hakim dan badan kehakiman dijangka terdedah kepada kritikan dan tuduhan tidak berasas oleh mereka yang terkesan akibat keputusan mahkamah.

Keadaan itu akan berlaku terutamanya jika sesuatu keputusan perbicaraan itu tidak memihak kepada mereka, ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Tengku Maimun menegaskan integriti sistem keadilan dan kebebasan badan kehakiman tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Apabila timbul keperluan untuk badan kehakiman dikritik, ini harus dilakukan dengan cara yang membina dan tidak menjejaskan kebebasan dan keyakinan orang ramai.

“Walau bagaimanapun, kita mesti kekal kuat dan tabah serta istiqamah dalam menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya memetik laporan akhbar itu, hari ini.

Tengku Maimun berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman di sini petang tadi.

Tengku Maimun turut menegaskan bahawa campur tangan luar dalam badan kehakiman tidak akan dilayan.

Sebaliknya, beliau berkata sesuatu kes diputuskan berdasarkan bukti di mahkamah dan prinsip undang-undang yang ditetapkan.

“Apa jua dugaan dan kesusahan yang kita hadapi, prinsip ini mesti dipatuhi. Hanya jika kita berpegang kepada prinsip utama ini, barulah kita layak dipanggil hakim,” katanya.

 



Comments
Loading...