Zahid Hamidi kuat menipu, kata Dr Mahathir


(Utusan) – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah seorang yang suka menipu dan perbuatannya itu harus dihentikan agar beliau tidak lagi menggunakan mahkamah atau kedudukan politiknya untuk meneruskan pembohongan.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, Ahmad Zahid telah hadir ke mahkamah dengan pelbagai penipuan demi kepentingan politik dan peribadi.

Satu contoh yang jelas, jelas Dr. Mahathir, ialah apabila Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam satu laporan sebuah portal berita bertarikh 30 Julai 2017 mendakwa bekas Perdana Menteri itu adalah berketurunan India.

“Plaintif (Ahmad Zahid) membuat kenyataan kerana amat tertekan dengan kejayaan defendan mengatasinya di dalam kempen politik ketika itu. Dengan tuduhan yang tidak berasas itu, plaintif berharap dapat merosakkan imej dan kredibiliti defendan.

“Ini kerana fitnah itu memperlihatkan bahawa defendan (Dr. Mahathir) bukan orang Melayu sepenuhnya dengan itu tidak layak berjuang untuk orang Melayu dan Islam. Plaintif ketika membuat pembohongan itu menyatakan dia mempunyai bukti yang kukuh tetapi sehingga ke hari ini tidak pernah menunjukkan bukti itu.

“Plaintif tidak pernah meminta maaf atau menarik balik pembohongan itu, sehingga ke hari ini,” kata Dr. Mahathir.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata demikian dalam jawapan pembelaannya terhadap saman fitnah yang difailkan Ahmad Zahid terhadapnya.

Pada pertengahan April lalu, Ahmad Zahid memfailkan saman fitnah terhadap Dr. Mahathir berhubung dakwaan beliau meminta bekas Perdana Menteri itu mencampuri urusan kes yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Berhubung dakwaan bahawa Ahmad Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah yang sedang dihadapi Presiden UMNO itu, Dr. Mahathir menyatakan, mana-mana individu yang waras akal fikiran akan membuat kesimpulan bahawa plaintif yang sedang membuat percubaan untuk menyelesaikan kes-kes jenayahnya.

Tambah Dr. Mahathir, dari 2018 hingga 2020 ketika memegang jawatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam Kabinet maka pertemuan-pertemuan antara mereka tidak mungkin melibatkan pengurusan dan pentadbiran negara.

“Adalah logik untuk diperkatakan bahawa plaintif telah datang dan bertemu defendan selepas dilantik menjadi Perdana Menteri yang mempunyai kedudukan berautoriti di dalam negara dan semestinya plaintif mempunyai rancangan untuk mencuba membersihkan nama baiknya yang telah lama tercemar dek penglibatan jenayahnya sendiri.

“Tiada dalam mana-mana bahagian dalam tuntutan saman ini plaintif menjelaskan mengenai pertemuan-pertemuan di antara plaintif dan defendan. Tiada langsung usaha di pihak plaintif untuk mendedahkan apa yang telah dibincangkan sekiranya benar apa yang dikatakan oleh defendan tersebut adalah palsu,” kata Dr. Mahathir.

Selain itu, Dr. Mahathir menyatakan beliau telah mengenal pasti beberapa orang saksi termasuk bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang akan mengesahkan kenyataan yang dikatakan memfitnah Ahmad Zahid itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahmad Zahid berkata pada 19 Oktober 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

Namun Presiden UMNO itu berkata, pada 23 Februari lalu, Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan palsu dan disifatkan berbaur fitnah dengan niat jahat merujuk secara terus kepada plaintif.

Menurutnya, kenyataan berbaur fitnah itu dibuat dalam suatu Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Kenyataan itu antara lain menyatakan Ahmad Zahid bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Saman tersebut merupakan tindakan undang-undang kedua yang difailkan oleh Ahmad Zahid terhadap pemimpin parti politik berhubung isu sama.

Pada 5 April lalu, Presiden UMNO itu memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Pada 23 Februari lalu, Dr. Mahathir dalam sidang akhbarnya mengakui pernah didatangi Ahmad Zahid meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah.

 



Comments
Loading...