TARIKH PILIHAN RAYA: DAP TAK HORMAT YANG DI-PERTUAN AGONG?


Kamarul Yusoff

Dalam kenyataan media yang beliau buat pada 2 Jun lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, menyelar Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, kerana kononnya bersikap “flip-flop” dalam soal bila beliau akan memanggil pilihan raya.

Anthony Loke cuba “mengajar” Perdana Menteri supaya konsisten dan tegas dalam pendiriannya kerana sikap “flip-flop” dikatakan akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berkelanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.

Hari ini, bila ditanya oleh wartawan mengenai kenyataan media Anthony Loke, Perdana Menteri tegas membidas Anthony Loke dengan menyebut tiga perkara:

(1) Dari sudut strategi, adalah lumrah untuk mana-mana Perdana Menteri membiarkan semua pihak berteka-teki mengenai bila mereka akan memanggil pilihan raya.

(2) Dari sudut organisasi, Perdana Menteri tidak akan membuat keputusan secara bersendirian tetapi akan berbincang mengenainya di dalam Parti dan Kabinet.

(3) Dari sudut perlembagaan, Perdana Menteri akan akur kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mendahului Baginda dalam soal pembubaran Parlimen.

Bidasan ini adalah bukti jelas betapa walaupun Kerajaan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan DAP tetapi Perdana Menteri adalah pemimpin yang mempunyai jati diri, tegas dan tidak lembik bila berhadapan dengan pemimpin DAP.

Berikut disertakan jawapan penuh Perdana Menteri kepada wartawan dalam isu ini:

“Eloklah kalau ‘flip-flop’ supaya dia orang tak tahu bila saya nak adakan pilihan raya. Cuba you check daripada kenyataan Perdana Menteri dulu-dulu, ada dak Perdana Menteri dulu-dulu menetapkan tarikh pilihan raya, tak ada. Kalau tanya Dr Mahathir waktu itu, dia kata ‘saya belum dapat ilham’, ok lah. Kalau saya beritahu lebih awal, seronoklah DAP, dia boleh prepare awal-awal lah kan. Jadi kita tak tahu bila. Seperti saya kata, apa pun pilihan raya, akan dibincangkan. Yang pertama dibincangkan oleh sama-sama UMNO, ada ‘top five’, bincang di Biro Politik UMNO, bincang di Majlis Tertinggi UMNO, bincang di dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional. Kemudian saya juga akan bincang di dalam Kabinet, saya dah sebut, sebab Kabinet akan memberikan mandat kepada saya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan kuasa terakhir dari segi penentuannya adalah Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong yang boleh menentukan kerana di dalam perlembagaan Yang di-Pertuan Agong boleh menolak ataupun bersetuju. Dan Yang di-Pertuan Agong boleh menolak kalau tidak bersetuju. Jadi saya tak boleh katakan ‘exact date’ sebab itu saya telah pun mengambil-alih kuasa Yang di-Pertuan Agong. Itu salah, salah di segi perlembagaan kalau kita tetapkan tarikh dia, sebab kuasa penentu adalah Yang di-Pertuan Agong. Memanggil dan membubarkan Parlimen itu kuasa Yang di-Pertuan Agong. Jadi kalau saya sebut ‘date’ saya dah mendahului Yang di-Pertuan Agong, tak boleh. DAP punya perangai mungkin dia tak hormat Yang di-Pertuan Agong, tapi saya, saya hormat Yang di-Pertuan Agong dan saya patuh kepada perlembagaan.”

https://www.youtube.com/watch?v=xcCsVkcE1xY

 



Comments
Loading...