Zahid dakwa pertemuan dengan Tun M hal politik, bukan kes mahkamah


(Malaysia Post) – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa lima pertemuan membabitkan mereka antara Jun 2018 dan Februari 2020 adalah untuk membincangkan kes mahkamah dihadapi Presiden Umno itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sebaliknya pertemuan dengan Dr Mahathir yang merupakan Perdana Menteri pada 2018 adalah untuk merayu agar beliau tidak membubarkan Umno dan membawa ahli parti itu menyertai Bersatu.

Dr Mahathir ketika itu merupakan pengerusi Bersatu tetapi dipecat daripada parti itu pada penghujung 2020, sebelum mengasaskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Menerusi jawapan kepada pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Mei tahun ini, Ahmad Zahid turut mendakwa dua daripada pertemuan dengan Dr Mahathir pada 2020 adalah berkaitan perbincangan berikutan Langkah Sheraton pada penghujung Feb tahun itu, laporan portal MalaysiaKini.

Pada April lalu, Ahmad Zahid yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir berhubung kenyataan yang dibuatnya pada sidang media sebulan sebelumnya.

Saman itu difailkan susulan dakwaan Dr Mahathir bahawa Ahmad Zahid bertemu dengannya untuk melobinya agar dia (Zahid) terlepas daripada hukuman penjara.

Menerusi pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah itu pada 17 Mei, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid menemuinya sebanyak lima kali pada 7 Jun 2018, 13 September 2018, dan pada 23 hingga 25 Februari 2020.

Berdasarkan jawapan kepada kenyataan pembelaan, Ahmad Zahid mendakwa pertemuan pertama pada Jun 2018 adalah bersempena bulan Ramadan, di mana perjumpaan itu turut dikongsikan di laman Twitter dan Facebook.

“Dalam pertemuan ini juga, Defendan telah mencadangkan dan kemudiannya menggesa Plaintif untuk membubarkan Umno dan menyeru ahli-ahli Umno (khususnya ahli-ahli parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri daripada Umno) untuk sertai defendan di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” dakwa Ahmad Zahid yang mendakwa mempunyai keterangan dokumentar untuk dikemukakan di mahkamah.

Menurutnya ketika pertemuan itu berlangsung, beliau masih belum didakwa di mahkamah atas sebarang pertuduhan atau dipanggil untuk sebarang siasatan.

Pertemuan turut dihadiri pemimpin Umno.

Berhubung pertemuan 13 September 2018, Ahmad Zahid mendakwa ia melibatkan perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama antara Umno dan Bersatu.

Plaintif mendakwa bahawa dalam pertemuan itu – yang turut dihadiri ahli Majlis Tertinggi Umno seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid – Dr Mahathir juga menggesa dia membubarkan Umno dan membawa ahlinya menyertai Bersatu.

Ahmad Zahid berkat, adalah tidak mungkin beliau membangkitkan soal kes prosiding jenayah terhadapnya pada 7 Jun 2018 kerana pada tarikh itu dia masih belum didakwa di bawah sebarang pertuduhan ataupun dipanggil untuk sebarang siasatan.

Menurutnya, pertemuan pada 23 Februari 2020 dengan beberapa ahli politik pula dilakukan atas permintaan Dr Mahathir.

Pemimpin yang didakwa menghadiri pertemuan itu ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Ketua Whip Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) , Datuk Seri Fadillah Yusof; Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg; Timbalan Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Azmin Ali dan Presiden Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal.

Ahmad Zahid mendakwa dia dan pemimpin parti lain telah menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri baru dan menubuhkan gabungan politik baru.

Berhubung pertemuan pada 24 Februari 2020, plaintif mendakwa ia merupakan pertemuan singkat dengan Dr Mahathir berikutan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.

Ahmad Zahid mendakwa pertemuan ringkas itu – yang didakwanya turut dihadiri Azmin dan Muhyiddin – tidak melibatkan sebarang perbicangan dan mereka hanya sempat bersalam yang ketika itu perlu ke Istana Negara.

Berhubung pertemuan pada 25 Februari 2020 pula Ahmad Zahid berkata, defendan menyatakan kepadanya dan juga pemimpin-pemimpin parti politik lain berkenaan cadangan untuk mewujudkan satu bentuk kerajaan perpaduan yang hanya melibatkan ahli-ahli parlimen dalam parti politik.

Ahmad Zahid mendakwa pertemuan dengan Dr Mahathir yang ketika itu merupakan Perdana Menteri sementara turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Abdul Hadi Awang, Abang Johari, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan pemimpin Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Plaintif menegaskan bahawa tiga pertemuan pada Februari itu bukan berkaitan kes mahkamah membabitkannya sebaliknya bagi menyelesaikan kemelut politik negara ketika itu.

Ahmad Zahid berkata, dakwaan Dr Mahathir berhubung kelima-lima pertemuan itu adalah dakwaan kosong semata-mata dan bersifat berkepentingan sendiri (self-serving).

Media melaporkan, peguam Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi mengesahkan bahawa salinan jawapan kepada kenyataan pembelaan itu telah disampaikan kepada mereka.

Peguam itu berkata, permohonan injunksi inter-parte akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Julai.

Berdasarkan undang-undang, permohonan inter-parte dijalankan dengan kehadiran peguam daripada kedua-dua belah pihak.

Ahmad Zahid sebelum ini memohon perintah injunksi ienterim untuk menghalang Dr Mahathir daripada mengulangi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya.

Zahid dakwa pertemuan dengan Tun M hal politik, bukan kes mahkamah



Comments
Loading...