PRU15: Perlu sedikit masa lagi, fokus pembangunan ekonomi dan negara – Azmin
(Astro Awani) – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan proses membangunkan semula ekonomi negara dan rakyat yang terkesan akibat COVID-19 memerlukan sedikit masa lagi.
Menteri Kanan Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pada ketika ini, tumpuan perlu diarahkan kepada pelaksanaan program-program pemulihan ekonomi, mewujudkan lebih banyak peluang bagi bakat-bakat tempatan serta melindungi kesihatan rakyat dalam terus memacu pertumbuhan yang lestari pada masa akan datang.
Tambah beliau, ketika ini juga, Malaysia turut berada di landasan yang tepat bagi proses pemulihan ekonomi samada di peringkat negeri-negeri atau pun negara.
“Sudah tentulah kita memerlukan sedikit lagi masa (lagi sebelum PRU-15 diadakan) supaya program pemulihan ini dapat berjalan dengan baik dan lancar,” jelas Mohamed Azmin.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian dan Sayap Bahagian Negeri Kedah di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, desakan untuk mengadakan pilihan raya itu hanya datang dari beberapa ‘kerat’ pimpinan UMNO yang mempunyai kepentingan peribadi.
“Ini bukan masanya untuk mengadakan pilihan raya semata-mata kerana nafsu serakah satu dua kerat pemimpin UMNO di (peringkat) atas yang mempunyai kepentingan peribadi mereka.
“Maka (dengan itu) kita harus meletakkan kepentingan ekonomi negara, meletakkan kepentingan rakyat dalam memastikan Malaysia terus memacu satu pertumbuhan yang lestari untuk masa akan datang,” jelas beliau.
Kata Mohamed Azmin lagi, desakan untuk PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat hanya akan mengganggu-gugat kemasukan pelabur ke Malaysia.
Tegasnya, beberapa indikator penting seperti kerajaan yang stabil, bersih dan berintegriti selain ekosistem perniagaan yang kondusif diambil kira oleh pelabur sebelum memilih negara tertentu sebagai destinasi pelaburan terbaik.