Anwar: Najib batal SD lepas gagal pastikan kes mahkamah dihentikan
(Malaysiakini) – Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim mendedahkan, dia pernah mendapat sokongan 120 ahli parlimen untuk menjadi perdana menteri pada 2020, termasuk 15 daripada Umno.
Bagaimanapun kata Anwar jumlah tersebut berkurangan selepas dia – jika menjadi perdana menteri – enggan untuk campur tangan dalam perbicaraan mahkamah membabitkan Najib Razak.
Bercakap kepada media di Port Dickson Anwar memberitahu selain Najib, ahli parlimen yang menarik balik sokongan kepadanya ketika itu ialah Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk).
Tambah ketua pembangkang itu, sokongan ahli parlimen Umno yang dibuat melalui perakuan bersumpah (SD) itu tidak dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong melaluinya.
Sebaliknya kata Anwar ia dihantar terus ke Istana Negara.
“Ada (SD) yang dikirim terus ke istana, termasuk yang disebut 15 dari Umno, tetapi PH (Pakatan Harapan) pada masa itu menyatakan bahawa jumlah sokongan menjangkau sehingga 120.
“Prinsip (PH), kami tidak menerima SD daripada Najib dan Zahid tetapi menjadi hak dia untuk tandatangan menyokong sesiapa ikut proses (yang ada),” katanya.
Tak sedia berkompromi
Anwar menjelasan ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana walaupun SD Najib dan Ahmad Zahid tidak diambil kira, PH masih memiliki jumlah majoriti – iaitu 118 – untuk membentuk kerajaan.
Apa yang berlaku sesudah itu, menurut Anwar, dia diminta untuk memberi kepastian bahawa urusan mahkamah membabitkan pemimpin Umno – khususnya Najib – tidak diteruskan.
Kata Anwar mereka mahu dia menggunakan kuasa sebagai perdana menteri untuk memastikan perbicaraan tersebut tidak berterusan.
“Saya tidak bersedia melakukan hal itu.
“Jadi, walaupun jumlah sokongan mencukupi dan laluan sebagai perdana menteri sudah cukup kuat, saya tidak bersedia untuk berkompromi dalam soal kebebasan badan kehakiman,” katanya.
Ekoran keengganan itu kata Anwar Najib kemudian mengusulkan nama lain sebagai calon perdana menteri pada saat-saat akhir.
Terdahulu Anwar ditanya media mengenai dakwaan dibuat bekas pengarah pilihan raya Umno Malaysia Tajuddin Abdul Rahman pada 27 Jun lalu mengenai SD ditandatangani Ahmad Zahid.
Menurut Tajuddin dia ditekan oleh Ahmad Zahid untuk menurunkan tandatangan pada SD bagi menyokong Anwar bagi menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi perdana menteri.
Mengulas lanjut Anwar menegaskan pendedahan Tajuddin itu membuktikan dia memang sudah mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri kira-kira dua tahun lalu.
Hal itu berlaku, katanya, di sebalik pelbagai tuduhan dan diperolo-olokkan pelbagai pihak yang meragui kenyataan dibuatnya.
Katanya dia juga mengambil sikap enggan menjawab tuduhan tersebut kerana berpendapat hubungan dengan pihak istana perlu dikekalkan dalam keadaan beradab.
Malah kata Anwar dia bersyukur kerana keadaan sebenar apa yang berlaku ketika itu terbongkar dengan sendirinya melalui pendedahan Tajuddin.
“(Ia adalah) dalam cara kita memuliakan institusi raja dan juga menghormati prinsip perlembagaan.
“Kalau ditakdirkan jadi (perdana menteri), alhamdulillah jadilah begitu, kalau tidak pun, kita bersabar dan teruskan perjuangan.
“Tapi yang nyata sekarang, orang yang buat tohmahan itu telah melakukan kesalahan besar dan fitnah, malah mempermainkan, memperolokkan di media sosial begitu dan begini.
“Ada yang beranggap kita sedia buat apa saja termasuk bersekongkol dengan kleptokrat (untuk jadi kerajaan), itu tak benar,” katanya.